NASIONAL

Jualan barangan borong, runcit meningkat 6.5% pada Februari

KUALA LUMPUR, 11 APRIL: Jualan dagangan borong dan runcit Malaysia meningkat 6.5 peratus tahun ke tahun kepada RM103.5 bilion pada Februari 2019, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan itu sebahagian besarnya didorong dagangan runcit yang meningkat 8.5 peratus tahun ke tahun.

“Bagi dagangan borong, nilai jualan mencatat pertumbuhan tahunan 5.8 peratus, manakala jualan kenderaan bermotor meningkat 2.4 peratus,” katanya.

Bagaimanapun berbanding Januari 2019, Mohd Uzir berkata, nilai jalan merosot 5.0 peratus, dengan subsektor itu mengalami pertumbuhan negatif, termasuk kenderaan bermotor yang merosot 11.6 peratus.

“Dagangan borong juga merosot 5.1 peratus disebabkan penyusutan dalam jualan borong barangan isi rumah (8.2 peratus), jualan borong jentera, peralatan dan bekalan (6.7 peratus) dan jualan borong makanan, minuman dan tembakau (6.0 peratus),” katanya.

Nilai jualan runcit merosot 3.0 peratus berbanding Januari 2019.

Dari segi indeks volum, perdagangan borong dan runcit meningkat 6.4 peratus tahun ke tahun, didorong oleh pertumbuhan 9.3 peratus dalam dagangan runcit,” katanya dan menambah bahawa dagangan borong meningkat 4.2 peratus diikuti jualan kenderaan bermotor sebanyak 3.8 peratus. –BERNAMA


Pengarang :