BERITA UTAMASELANGOR

Juara Qariah belajar taranum sejak usia 5 tahun

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 23 APR : Belajar taranum al-Quran sejak berusia lima tahun, itulah antara perkara menarik mengenai juara Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2019, Nor Farhatul Faizurah Panut.

Gadis manis dari Sepang itu berkata, ibu dan ayahnya juga diantara pendorong utama untuknya mempelajari al-Quran dengan lebih mendalam sejak kecil.

“Awalnya saya hanya mengikuti ayah, ibu serta adik beradik yang lain belajar al-Quran tapi lama kelamaan ia menyeronokkan sehinggalah saya dapat bertaranum seperti mereka.

“Ayah dan ibu juga adalah qari dan qariah yang pernah menyertai pertandingan di peringkat kebangsaan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

KUALA LUMPUR, 20 April — Qari dan Qariah Malaysia yang merangkul Johan Kategori Tilawah Abdul Khair Jalil (kanan) dan Nor Farhatul Fairuzah Panut menunjuk trofi yang dimenangi pada Majlis Perasmian Penutupan Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-61 Tahun 1440 Hijrah/ 2019 Masihi di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur malam ini.?–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA??

Usianya yang baru mencecah 19 tahun itu tidak menjadi penghalang buat Farhatul untuk menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa sehingga berjaya mengalahkan Wardatun Nisa Hasa dari Indonesia dan Karimah Hayibaraheng dari Thailand.

Farhatul yang meminati lagu Bahasa Arab berkata, dia tidak pernah menjangka penyertaan kali pertama itu membolehkannya bergelar juara sekali gus berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM40,000 dan emas bernilai RM70,000.

“Wang ini saya akan simpan untuk pembelajaran pada masa akan datang, ini kerana saya mahu menjadi pensyarah dalam bidang al-Quran.

“Selain itu, saya akan gunakan wang ini untuk melancong, antara negara yang diimpikan ialah Dubai,” katanya.

Mempunyai lebih 90,000 pengikut di instagram peribadinya, pelajar Sekolah Menengah Agama Perempuan Labu, Negeri Sembilan itu turut berkongsi videonya mempelajari al-Quran di laman media sosial.

Katanya, beliau tidak kisah dikaitkan dengan pelbagai berita termasuk isu jodoh seperti yang diviralkan baru-baru ini.

“Ada yang kata tulang rusuk bergetar dan sebagainya, pada saya itu hanya perkara biasa, masih banyak yang saya perlu pelajari dalam hidup ini.

“Ini hanyalah salah satu bab yang perlu saya lalui sahaja,’ katanya.

 


Pengarang :