SELANGOR

Kadar tarif air Selangor dijangka umum Jun

OLEH NADIAH ZAMLUS

SUBANG JAYA, 11 APRIL: Selangor dijangka akan membuat pengumuman berhubung isu penetapan tarif air di negeri itu antara Jun atau Julai ini, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

“Kita tidak membuat sebarang keputusan lagi berhubung isu berkenaan walaupun sudah membuat perbincangan mengenainya sebelum ini,” katanya ringkas kepada media.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pengumuman Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A. Xavier Jayakumar berhubung enam negeri bersetuju menaikkan kadar tarif air, ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, semalam.

Persetujuan itu dicapai hasil rundingan kementerian bersama kerajaan negeri dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang masih lagi berjalan ketika ini.

Bagaimanapun, Xavier tidak menyatakan enam negeri terbabit.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri dilaporkan tidak mahu membuat sebarang spekulasi berhubung isu air bagi mengelakkan suasana kurang baik.

Kerajaan Negeri turut mengumumkan program pemberian air percuma melalui program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) sedang melalui penjajaran semula.

 


Pengarang :