SELANGOR

Kadar zakat fitrah Selangor kekal RM7

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 24 APRIL: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menetapkan kadar zakat fitrah tahun ini kekal dengan kadar minimum RM7 seorang.

Ketua Pegawai Penyelaras LZS, Abdul Basith Hamid berkata, pihaknya menggalakkan orang ramai membayar mengikut harga beras yang dimakan iaitu RM7, RM14 dan RM21 bagi seorang.

“Bagi memastikan kutipan zakat berjalan lancar, orang awam boleh merujuk kepada risalah data kadar yang disediakan penolong amil fitrah negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penghargaan Lembaga Zakat Selangor 2018 di Dewan Orkid Wisma PKPS, semalam.

LZS membuka 27 cawangan di seluruh negeri, tujuh hari seminggu dari 8.30 pagi hingga 4.30 petang untuk hari bekerja dan 9 pagi hingga 3 petang untuk hari Sabtu, Ahad serta cuti umum.

Pada masa sama, pihaknya mengalukan pembayaran zakat fitrah menerusi dalam talian bagi memudahkan pembayar zakat yang sibuk dengan urusan harian.

Setakat ini, LZS mengumumkan tiga kadar dan bakal mengumumkan beberapa kadar pada masa akan datang.


Pengarang :