BERITA UTAMAGLOBAL

Kajian: Tiada data tunjuk adanya konflik Muslim, Kristian

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 25 APR: Tiada unsur konflik antara penganut Islam dengan Kristian walau serangan di Sri Lanka dianggap “tindak balas” insiden tembakan di masjid Christchurch.

Kajian tentang keganasan oleh Universiti Maryland menunjukkan “tiada data menyokong jalan cerita berkembangnya perang antara agama”, lapor CNN kelmarin.

Memetik laporan Konsortium Kebangsaan bagi Kajian Keganasan dan Tindak Balas Terhadap Keganasan (START) di universiti tersebut, portal itu melaporkan hanya 1.45 peratus serangan pengganas di seluruh dunia melibatkan rumah ibadat antara 1970 hingga 2017.


Anggota keselamatan Sri Lanka memeriksa bahagian dalam gereja St. Sebastian di Negombo pada 22 April 2019, sehari selepas serangan bom pengganas. – Foto AFP.

“Apabila anda mengambil kira serangan pengganas terhadap tokoh dan institusi agama, jumlahnya hanya meningkat 1 peratus kepada 2.44 peratus,” lapor stesen TV terkenal itu.

Ia mengulas kenyataan Menteri Pertahanan Sri Lanka, Ruwan Wijewardene, yang mendakwa siri pengeboman di gereja dan hotel pada Ahad lalu akibat serangan di dua masjid New Zealand.

Lebih 350 terbunuh dalam serangan di lapan lokasi sempena sambutan Hari Paskah dan beratus-ratus lagi cedera. Kira-kira 60 orang suspek ditahan setakat ini.

ISIS, kumpulan pengganas yang berpangkalan di Syria, mengaku bertanggungjawab atas serangan tersebut. Sementara ada laporan menyebut Jamaah Tawheed Nasional terlibat.

Pengurus pangkalan data START Erin Miller dilaporkan mengingatkan pelampau Islam turut menyerang penganut agama itu, sekali gus menyanggah tanggapan konflik Muslim dengan Kristian.

“Jadi, walau penganut agama dan ramai lagi terkejut dengan serangan ke atas rumah ibadat, kita wajar meragui penganalisis yang menyebarkan naratif ‘pertembungan perabadan’.

“Data tidak menunjukkan idea (konflik Muslim dengan Kristian) tersebut, sekurang-kurangnya bukan pada saat ini,” katanya.


Pengarang :