PBTSELANGOR

Karnival 3W MBPJ bakal tampil Zarina Zainuddin

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 3 APRIL: Karnival 3W (Women, Welfare & Wellness) memilih Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebagai lokasi ketiga, pada 6 April ini.

Memilih tema Hari Autisme dan Hari Tibi Sedunia, ia akan diadakan dari 6.30 pagi hingga 10.30 malam di Dataran Petaling Jaya.

Penolong Pengarah Komunikasi Korporatnya, Ahmad Iskandar Mohamad Mukhtar berkata, tema itu dipilih bersesuaian dengan sambutan hari Autisme dan Tibi yang disambut pada April setiap tahun.

“Menariknya, pada karnival itu nanti kita turut menampilkan pelakon dan pengacara, Zarina Zainuddin melalui sesi “talk show” yang akan berkongsi berkenaan pengalamannya mempunyai dan membesarkan dua anak Autisme.

“Malah, beliau (Zarina) akan turut menyampaikan saranan dan semangat kepada ibu bapa yang mempunyai anak Autisme supaya sentiasa bersabar dan tabah dalam membesarkan insan istimewa itu,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Pada masa sama, katanya, pelbagai pengisian menarik akan diadakan sepanjang karnival itu antaranya Acara 10,000 Langkah, Funride 22 kilometer, Persembahan Buskers dan Wayang Pacak.

Selain itu, Ahmad Iskandar berkata, turut diadakan pertandingan mewarna, pertandingan menghias kek, cabutan bertuah, pemeriksaan pesihatan secara percuma dan pameran oleh pelbagai agensi kerajaan.

“Kami mengalu-alukan kehadiran orang ramai terutama yang berada di sekitar Petaling Jaya untuk sama hadir memeriahkan karnival ini, sekali gus meraikan golongan Autisme,” katanya.

Karnival itu menjadi medan interaksi antara pemimpin dan pihak berkuasa dengan masyarakat yang memfokuskan kepada wanita, kebajikan dan kesihatan, di Selangor.


Pengarang :