SELANGOR

Karnival Jom Cari kerja & Jom masuk U Sabtu ini

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SELAYANG, 23 APR: Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Taman Templer dan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Selayang bakal menganjurkan Karnival Jom Cari Kerja & Jom Masuk Universiti pada Sabtu ini.

Menurut kenyataan di Facebooknya, karnival itu akan berlangsung di Dewan Fakulti Perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Selayang bermula jam 8.30 pagi sehingga 3.30 petang.

Program terbabit terbuka kepada seluruh warga Selayang yang ingin mendapatkan maklumat berkaitan kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan mencari pekerjaan.

Sebanyak 10 universiti akan turut serta dalam karnival itu dan konsultasi percuma akan diberikan kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia yang hadir membawa keputusan peperiksaan.

Pengunjung yang hadir juga berpeluang memohon kerja secara terus dan menjalani temuduga terbuka daripada pelbagai agensi sektor awam serta swasta.

Sementara itu, karnival terbabit turut menjalankan ujibakat mencari artis irama tradisional dan seni budaya oleh Ratu Irama Tradisional Malaysia, Noraniza Idris.

Pencarian bakat pelakon bagi drama dan filem juga diadakan dan diselia oleh agensi pencarian bakat, Az Talent Agency.

Karnival itu turut dimeriahkan dengan pelbagai pertandingan, kuiz terbuka, cabutan bertuah dan pameran daripada agensi kerajaan.

Sebarang pertanyaan mengenai kemasukan ke universiti, boleh hubungi 012-9701514 (Din), manakala urusan pencarian pekerjaan menerusi 017-8859182 (Azri).


Pengarang :