SELANGOR

Karyawan Malaysia dan Indonesia jayakan Ekspresi Malindo

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 25 APRIL: Galeri Shah Alam mengadakan pameran seni Ekspresi Malindo yang menampilkan karyawan daripada Malaysia dan Indonesia berkongsi pentas, bermula hari ini sehingga 31 Mei 2019.

Pameran itu bagi memperkukuh silaturahim dalam kalangan pelukis dari kedua-dua negara menerusi peralatan seni, pada era grobal.

Malaysia dan Indonesia masing-masing membariskan 10 pelukis antaranya Prof Madya Ramlan Abdullah, Adam Wahida, Arie Kadarisman, Abey Zoul, Basuki Sumartono, Haron Mokhtar, Cipto Purnomo, Dr Rosli Zakaria dan Umar Chusaeini.

Sejumlah 75 karya dipamerkan untuk tatapan ramai iaitu 66 catatan dan sembilan arca bermula 9 pagi sehingga 6 petang setiap hari, kecuali cuti umum.

Semua lukisan itu dijual pada harga bermula RM1,500 sehingga RM36,000 antaranya menampilkan ekspresi budaya, kritikan sosial dan bangunan cakerawala yang menghiasi kota raya.

Pelukis tempatan, Haron Mokhtar berkata, hasil pameran pelukis dari Indonesia tidak mempunyai banyak perbezaan dengan Malaysia dan berpandangan sifat rumpun Melayu serta Islam sebagai antara elemen yang diekspresikan dalam karya mereka.

“Saya sebenarnya sangat berbangga kerana diundang untuk menyertai pameran ini kerana berjaya mengetengahkan dua budaya walaupun satu rumpun tetapi disempadankan dengan politik pemerintahan.

“Apa yang penting pada saya, pameran ini memperlihatkan kebersamaan kita menerusi unsur budaya. Saya sendiri menempatkan empat hasil lukisan dalam pameran kali ini,” katanya.

Pandangan sama turut dikongsikan Basuki Sumartono yang turut mengambil peluang melihat lebih dekat budaya di Malaysia untuk menghasilkan karya lebih baik selepas ini.

“Saya sangat senang kerana walaupun seni mempunyai perbezaan karekter tetapi ia membawa kita untuk menjadi lebih kreatif. Ini adalah kali pertama saya bersama sahabat di Malaysia,” katanya.


Pengarang :