Foto BERNAMA
NASIONALSUKANKINI

KBS anjur pelbagai acara sukan antarabangsa promosi Malaysia

KUALA LUMPUR, 6 APRIL: Kementerian Belia dan Sukan akan meneruskan usaha menganjurkan lebih banyak acara sukan bertaraf antarabangsa untuk mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan sukan menarik.

Justeru, menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, kementerian akan memastikan persatuan sukan kebangsaan, kerajaan dan sektor swasta bekerjasama bagi mencapai objektif berkenaan.

“Seperti Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tegaskan, antara sebab beliau mencetuskan idea menganjurkan Le Tour de Langkawi (LTdL) adalah untuk menjadikan Malaysia, terutama Langkawi sebagai destinasi pelancongan sukan. Kita (kementerian) mahu memastikan visi itu dicapai dan kita boleh lihat banyak acara sukan diadakan di situ sejak tahun lalu.

“Beliau (Perdana Menteri) sangat komited dalam perkara ini, sebab itu kita dapat lihat beliau sendiri turun ke Majlis Pengenalan Pasukan LTdL pada malam ini (tadi).

“Beliau juga akan turut hadir untuk majlis pelepasan pelumba pada peringkat pertama esok dan untuk dua peringkat terakhir di Langkawi,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pengenalan Pasukan LTdL di KLCC, malam tadi.

Terdahulu dalam ucapan perasmian, Dr Mahathir berkata, pada tahun ini sahaja, Langkawi akan menganjurkan pelbagai acara sukan antarabangsa seperti ragbi, pelayaran, bola tampar pantai, perahu naga, tenis dan maraton, yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi setempat di Langkawi dan Malaysia secara amnya.

Mengulas LTdL tahun ini, Syed Saddiq yakin tiga pasukan tempatan – Pasukan Kebangsaan Malaysia serta dua pasukan benua, Team Sapura Cycling dan Terengganu Inc-TSG Cycling Team – mampu menampilkan prestasi terbaik.

LTdL 2019 mmbabitkan perlumbaan keseluruhan sejauh 1,225.8km, bermula dari KLCC ke Tampin (176.9km) esok; diikuti Senawang-Melaka (Peringkat 2); Muar-Putrajaya (Peringkat 3); Shah Alam-Genting Hinglands (Peringkat 4); Tanjung Malim-Taiping (Peringkat 5); Bagan-Alor Setar (Peringkat 6); bermula dan berakhir di Pantai Cenang, Langkawi (Peringkat 7); dan tamat di Dataran Lang-Kuah Loop (Peringkat 8). -BERNAMA


Pengarang :