NASIONAL

KBS rangka lima langkah strategik tingkat mutu ILKBS

REMBAU, 25 APRIL: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang melaksanakan program transformasi Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) di seluruh negara, dengan merangka lima langkah strategik termasuk menaik taraf ILKBS untuk menjadi setaraf dengan status kolej.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong berkata, ia sebagai usaha meningkatkan lagi mutu institusi di semua 22 ILKBS.

“Selain itu, kita juga berhasrat menjalin hubungan kerjasama lebih erat dengan pihak pemain industri melalui penubuhan satu panel penasihat seperti syarikat ‘Small and Medium Enterprise’ (SME) bagi membolehkan pakar-pakar dari industri ini membuat audit, beri nasihat serta memantau kualiti proses pembelajaran dan pengajaran ILKBS.

“Jadi ini membolehkan kita melatih masa depan pelajar dengan kemahiran yang diperlukan bagi membolehkan penyelarasan dibuat supaya pelajar kita dapat merasai pekerjaan dunia sebenar,” katanya kepada pemberita selepas program Career Fest ILKBS Zon Selatan Tahun 2019@IKTBN Chembong di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Sim berkata, langkah strategik itu juga termasuk mengembangkan peluang mengikut kursus Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) untuk golongan muda terutama golongan minoriti dan pedalaman seperti Orang Asli Semenanjung dan Pribumi Sabah dan Sarawak.

“Seterusnya kita juga akan kembangkan pengukuhan ‘soft skill’ seperti kemahiran berbahasa, kemahiran berfikir secara kritis, kerja berpasukan, kepimpinan, nilai integriti dan amanah kepada pelajar bagi melahirkan graduan bukan sahaja mempunyai kemahiran dalam teknikal tetapi mempunyai kemahiran soft skill yang relevan dalam pasaran kerja.

“Kita juga akan memberi peluang kepada pelajar menyertai perolehan KBS melalui program diadakan seperti mengambil video, pembuatan pastri makanan dan sebagainya,” katanya.

Pada majlis itu, Sim turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara empat Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) dengan empat buah syarikat swasta dalam menyediakan latihan industri seperti bidang automatif, pemesinan, elektrik, hospitaliti dan perhotelan.

Empat buah syarikat tersebut iaitu Prima Kembara Sdn Bhd, Robo CNC Sdn Bhd, Tasek Haza Engineering & Services Sdn Bhd dan Desaru Corniche Hotel Sdn Bhd.

Program Career Fest ILKBS Zon Selatan Tahun 2019 adalah acara tahunan yang dilaksanakan di setiap ILKBS yang melibatkan enam Zon iaitu Zon Utara, Tengah, Selatan, Timur, Sabah dan Sarawak bagi memberi pendedahan kepada pelajar ILBKS melalui penyediaan peluang pekerjaan bersama industri yang telah menjalinkan kerjasama MoU dengan ILKBS.

-BERNAMA


Pengarang :