NASIONAL

KEADILAN bakal gantung keahlian individu bergaduh di Rantau

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 15 APR: Lembaga Disiplin KEADILAN sedang memperincikan butiran ahli parti yang didakwa bergaduh di bilik gerakan Pakatan Harapan (PAKATAN) dan menghalang tugas pihak polis untuk diambil tindakan.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Kasim berkata, anggota yang bersalah semasa kempen di Rantau berkemungkinan digantung keahlian.

Beliau menegaskan, pihaknya memandang berat kes-kes seumpama ini terutamanya yang berkaitan dengan pencabulan undang-undang negara.

“Siasatan bermula secepat mungkin setelah maklumat anggota yang didakwa melakukan kesalahan tersebut diperolehi.

“Pimpinan cabang dan anggota lain perlu membuat laporan terperinci kepada Lembaga Disiplin Parti bagi mempercepatkan proses ini,” katanya dalam kenyataan.

Ahmad turut mengucapkan terima kasih kepada pihak polis yang bertindak pantas dan menahan pesalah tersebut.

“Kami amat prihatin dan mengesa seluruh anggota parti sentiasa mematuhi undang-undang dan tidak mengambil jalan mudah.”

Sabtu lalu, tular klip video berdurasi satu minit memaparkan pergaduhan sekumpulan penyokong di bilik gerakan utama mereka di Bandar Ekar, Rembau selepas Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Pergaduhan itu didakwa tercetus selepas media melaporkan keputusan tidak rasmi PRK Rantau yang memihak kepada calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan.


Pengarang :