SELANGOR

Kebun komuniti tarik minat pesara

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 21 APRIL: Sesiapa sahaja akan terpegun dan teruja sebaik melangkah ke kebun komuniti diusahakan Persatuan Penduduk Lapan Timur (PP8T), Seksyen 8, Shah Alam.

Deretan pelbagai jenis tanaman menjadikan suasananya seperti berada di ladang sayur komersial kerana ia lengkap dengan batas khusus dan tersusun serta tapak tanaman berteres, selain sistem saliran air yang sempurna.

Pengerusi Kebun Komuniti, Dato’ Zainuddin Ahamad berkata, sejak kebun itu dilancarkan pada 2014, di kawasan tanah lapang di Jalan Jaluran 8/3, ia menarik minat ramai penduduk kawasan itu bercucuk tanam dan dijadikan aktiviti mengisi masa lapang.

Katanya, seramai 40 peserta kebun komuniti adalah pesara dan terdapat lebih 50 batas tanaman yang diusahakan.

“Kebanyakan mereka menghabiskan masa di kebun ini pada hujung minggu, ada juga hampir setiap hari berada di kebun.

“Aktiviti ini banyak mendatangkan faedah selain mengisi masa lapang, mereka juga dapat melakukan aktiviti sihat melaluinya,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Zainuddin berkata, pihaknya turut meletakkan syarat utama kepada mereka iaitu hanya baja asli seperti tahi ayam sahaja digunakan pada tanaman dan tidak boleh menggunakan racun serangga.

“Berbanding sayuran yang terdapat di pasaran, mereka menggunakan racun serangga, ini membolehkan pengguna terdedah dengan bahan kimia, oleh itu, kita amat menitikberatkan perkara terbabit,” katanya.

Sementara itu, Suri Rumah, Tukilah Hashim, 59, mula berjinak dalam menanam sayur organik di kebun terbabit sejak dua tahun lalu.

Beliau yang turut menerima Anugerah Pekebun Paling Aktif berkata, aktiviti itu bagus untuknya daripada membuang masa di rumah.

“Sekurang-kurangnya dua jam setiap hari saya akan berkebun. Memang saya berminat dengan aktiviti ini sudah lama.

“Sebelum ini, saya hanya bercucuk tanam di rumah sahaja di mana tanah sangat terhad untuk menanam pelbagai sayur,” katanya.

Katanya, sayuran yang ditanam antaranya kangkung, sawi, kubis, salad akan dijual atau diberi kepada jiran mahupun bertukar sesama pekebun.

“Hasil jualan yang saya dapat cukup untuk menampung modal serta baja, namun bukan keuntungan yang kami mahukan sebaliknya aktiviti sihat ini juga dapat mengeratkan silaturahim antara satu sama lain,” katanya.


Pengarang :