NASIONAL

Kekalahan sebenar PAKATAN di DUN Semenyih

OLEH NORHAYATI UMOR

PUTRAJAYA, 22 APR: Kekalahan sebenar Pakatan Harapan (PAKATAN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) adalah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kekalahan berkenaan menyebabkan PAKATAN hilang kerusi berbanding PRK lain yang sememangnya milik pembangkang.

“PRK di Sungai Kandis, kita menang. Seri Setia, kita menang. Balakong, kita menang kerana itu memang kerusi PAKATAN.

“Di Rantau kita tahu itu tempat kawasan UMNO. Hakikatnya kekalahan sebenar adalah di Semenyih. Jadi kira baharu kalah 1-0, bukan 3-0.

“Begitu juga di Sandakan, jika DAP berjaya mengekalkan kerusi, kita menang tetapi kalau gagal, itu adalah kekalahan PAKATAN kali kedua,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi dialog media bersama beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), di Kementeriannya, di sini.

Saifuddin turut mengakui kekalahan berkenaan berpunca dari isu utama iaitu ekonomi dan sara hidup selain calon yang bertanding.

PRK DUN Semenyih adalah PRK kali keenam selepas perubahan kerajaan pada 9 Mei tahun lalu.

Ia ekoran kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, daripada BERSATU di Hospital Kajang pada jam 4.45 pagi akibat serangan jantung.

Bagaimanapun, calon PAKATAN, Muhammad Aiman Zainali tewas kepada Barisan Nasional diwakili Zakaria Hanafi yang memperoleh 19,780 undi.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)


Pengarang :