SELANGOR

Kekurangan diri tidak halang Maran rangkul APC MBSA

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 26 APR : Menderita kencing manis sehingga sepasang kaki terpaksa dipotong sejak lima tahun lalu tidak menghalang Maran Kanniappan daripada terpilih sebagai salah seorang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2018 Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), baru-baru ini.

Pembantu Awam Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam MBSA itu berkata, beliau tidak menduga kerana masih dipilih sebagai salah seorang penerima APC dan kini genap tiga kali dirinya berjaya merangkul anugerah terbabit.

“Walaupun keadaan begini ia tidak menghalang saya untuk terus melaksanakan kerja yang sudah dipertanggungjawabkan.

“Bagaimanapun, terima kasih kepada MBSA kerana masih menerima saya sebagai kakitangan,” katanya ketika ditemui SelangorKini pada Majlis APC MBSA, baru-baru ini.

Mengulas berkenaan tips kejayaan, Maran berkata, disiplin dan jaga hubungan sesama kakitangan adalah antara kunci utama sejak mula bertugas di MBSA pada 1 Julai 1993.

Sementara itu, Penguatkuasa MBSA, Mohd Zaini Mohd Noor, berkata, niat yang ikhlas dan elak daripada mengambil rasuah adalah antara rahsia kejayaannya selama bertugas di pihak berkuasa tempatan (PBT) itu sejak 15 Januari 1993.

Katanya, sejak bertugas di MBSA beliau sentiasa komited dan tidak sesekali mengeluh walaupun perlu bekerja tidak kira waktu siang dan malam.

“Bagi saya niat itu penting dan jangan sesekali kita salah menggunakan kuasa selain sentiasa amalkan sikap positif dan tidak merungut dengan kerja yang dilakukan.

“Selain itu, kita juga perlu menepati masa dan sentiasa mendengar arahan yang diberikan serta melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi,” katanya yang sudah menerima APC kali keempat.

Terdahulu, seramai 122 kakitangan MBSA dirai dalam majlis APC MBSA 2018 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini, baru-baru ini.

Majlis disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Majlis dianjurkan setiap tahun itu bertujuan menghargai jasa dan komitmen kakitangan yang mencapai prestasi terbaik selain mengangkat peranan MBSA sebagai PBT yang memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat, khususnya warga Shah Alam.

 


Pengarang :