SUKANKINI

Kelantan akur keputusan FAM tarik tiga mata

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

SHAH ALAM, 12 APR: Kelantan terpaksa akur dengan keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menarik tiga mata dalam saingan Liga Perdana ekoran gagal membayar pampasan kepada bekas Pengarah Teknikalnya, Alfredo Carlo Gonzalez berjumlah RM235,686.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, hukuman itu rentetan kegagalan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) mengikut arahan dan tempoh masa ditetapkan Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi menjelaskan tuntutan rasmi Gonzalez.

“FAM mahu mengingatkan serta menasihati ahli gabungan lain supaya tidak mengambil mudah arahan berkaitan hukuman dijatuhkan FIFA atau Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) kerana kesan dan akibatnya,” katanya menerusi laman sesawangnya, https://www.fam.org.my/

Bekas pemain antarabangsa Uruguay itu dilaporkan telah membuat laporan kepada FIFA pada Januari 2018 susulan tidak berpuas hati dengan tindakan KAFA.

Terdahulu, FAM sudah mengumumkan bahawa pasukan Kelantan secara serta merta dipotong tiga mata dalam saingan Liga Perdana.

Pemotongan tiga mata itu menyaksikan Kelantan turun satu anak tangga ke kedudukan ke-10 dengan kutipan empat mata daripada tujuh perlawanan.

Pada April 2017, Gonzalez telah dilantik sebagai Pengarah Teknikal Kelantan oleh bekas Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa pada, bagaimanapun kontraknya dilaporkan ditamatkan dua bulan kemudian.


Pengarang :