NASIONAL

Kematian enam anggota bomba: Tiada kecuaian, pelanggaran SOP disengaja

KUALA LUMPUR, 14 APR: Insiden kematian enam anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di bekas lombong Taman Putra Perdana pada Oktober lepas, tidak mempunyai unsur kecuaian atau pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) yang disengajakan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Katanya jawatankuasa siasatan berhubung insiden itu juga merumuskan tragedi tersebut sebagai kejadian malang yang tidak dijangka.

“Semua garis panduan telah mereka ikut seperti yang mereka pelajari dan dilatih sebelum ini,” katanya pada sidang media selepas program gotong-royong membasmi nyamuk aedes di Taman Ampang Mewah, Ampang, dekat sini hari ini.

Zuraida yang juga Anggota Parlimen Ampang, berkata siasatan mendapati kemalangan disebabkan pelbagai faktor yang wujud sebelum dan semasa kejadian, termasuk kurangnya kefahaman tentang risiko dinamik empangan tembok rendah (LHD) dalam kalangan anggota terlibat.

“LHD ini kelihatan tenang dan tidak berbahaya, tidak tinggi, hanya sekitar paras dada dan tidak akan tenggelamkan kita tetapi bila air turun dari LHD ini, kuasa hidrauliknya sangat kuat dan mengakibatkan kemalangan sehingga enam anggota bomba kita terkorban,” katanya.

Menurut Zuraida, jawatankuasa siasatan juga mendapati wujud kekeliruan komunikasi dalam kalangan pasukan penyelamat selain pelan kecemasan tidak berjalan seperti yang dirancang.

Beliau berkata, kementeriannya akan melakukan penambahbaikan yang disaran oleh jawatankuasa itu termasuk mewujudkan sistem penyiasatan insiden lemas bersepadu bagi memastikan penemuan penyiasatan disebarkan dan dikemukakan kepada semua agensi berkaitan dalam tempoh bersesuaian, agar langkah pencegahan yang berkesan dapat dilaksana.

Selain itu, latihan bersama strategik melibatkan agensi-agensi penyelamat akan dilaksanakan dalam masa terdekat bagi meningkatkan keberkesanan koordinasi dan komunikasi dalam dan antara agensi semasa operasi penyelamatan, katanya.

Bagi mengurangkan risiko LHD, Zuraida berkata reka bentuk LHD sedang dikaji semula selain pihak berkuasa tempatan perlu memasang pagar dan papan tanda amaran di kawasan yang berkenaan bagi meminimumkan insiden lemas.

“Kita juga akan menyediakan latihan untuk pasukan bomba dalam usaha menambah pengetahuan menangani risiko LHD dan cara berdepan dengan risiko tersebut,” katanya.

Dalam kejadian 3 Oktober tahun lepas, enam anggota Pasukan Penyelamatan Di Air lemas ketika operasi menyelamat seorang remaja yang dilaporkan terjatuh ke dalam bekas lombong tersebut.

Susulan itu, kementerian menubuhkan sebuah jawatankuasa siasatan bagi menyiasat insiden tersebut dan laporan jawatankuasa berkenaan dibentangkan kepada kabinet pada Jumaat lepas.

Sementara itu, ditanya mengenai keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Rantau yang menyaksikan kemenangan ketiga berturut-turut Barisan Nasional dalam PRK, Zuraida berkata beliau melihat situasi tersebut sebagai fenomena sementara.

“Ini semua disebabkan rakyat masih lagi merasa kejutan budaya, dan saya pasti pada masa akan datang apabila keadaan politik lebih stabil, kerajaan lebih stabil, rakyat akan nampak lebih jelas dan rakyat akan lebih bersedia,” kata Naib Presiden PKR itu yang yakin Pakatan Harapan (PH) mampu bertahan pada pilihan raya umum ke-15.

Malam tadi, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mempertahankan kerusi Rantau dengan majoriti 4,510 undi, mengatasi calon PH, Dr S. Streram serta dua calon Bebas iaitu suri rumah R. Malarvizhi, dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :