KUALA LUMPUR, 10 April — Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu mendengar penerangan daripada anggota tentera berkaitan mesin rawatan ‘PrimusRs’ sejenis alat kecerdasan ketika lawatan kerja ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, hari ini. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Kementerian Pertahanan hasrat wujud sistem EMR

KUALA LUMPUR, 10 APRIL: Kementerian Pertahanan berhasrat menyediakan sistem Electronic Medical Records (EMR) iaitu satu sistem yang mengumpul dan menghubungkan data pesakit di semua Hospital Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, sistem itu perlu diwujudkan segera memandangkan pengurusan rekod pesakit secara manual akan melambatkan proses perawatan dan perkongsian maklumat perawatan tidak dapat dibuat secara optimum.

“Bahagian Perkhidmatan Kesihatan (BPK) mengusulkan supaya perolehan Hospital Information System dapat dilaksanakan dan ia akan menghubungkan kesemua lima hospital ATM di seluruh negara termasuk satu di Kota Kinabalu, Sabah,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di sini hari ini.

Ketika ditanya mengenai peruntukan yang diperlukan untuk membangunkan sistem berkenaan, beliau berkata perkara itu belum diperincikan.

“Itu belum diperincikan lagi, tapi lebih kurang RM15 juta diperlukan untuk sistem… peralatan lebih kurang RM20juta. Namun, perbelanjaan diperlukan dari semasa ke semasa kerana (lambat laun) peralatan akan menjadi usang dan tidak dapat digunakan,” jelasnya.

Sementara itu, ketika ditanya berkenaan penjualan Hotel Royale Chulan Bukit Bintang, Mohamad berkata ia dibuat mengikut peraturan.

“…lembaga pengarah telah bincang dan luluskan akan membuat tender secara terbuka. Bagaimanapun, keputusan terakhir terletak di tangan Jabatan Perdana Menteri,” katanya.

Pada 15 Mac lalu, media melaporkan Boustead Holdings Bhd (BHB) telah menandatangani perjanjian jual beli dengan Hotel Royal Ltd dari Singapura pada harga RM197 juta, selepas lebih dua minggu Kementerian Pertahanan menyatakan belum ada kepastian berhubung penjualan itu.

Dalam pada itu, ketika ditanya keputusan kerajaan berkaitan keperluan pesawat rondaan maritim beliau berkata pihaknya dalam usaha mendapatkan pesawat itu.

“Kita sedang dalam proses perolehan untuk dapatkan sebab ia perlu untuk pemantauan, dan kita telah bincang dengan pihak Kementerian Kewangan dan mereka pun nampak ia perlu. Tahun lepas, ia ditangguh dan kos untuk projek masih dalam perbincangan,” katanya. -BERNAMA


Pengarang :