SELANGOR

Kempen ‘Jom Baca Bersama 10 Minit’ pada 23 April

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 16 APRIL: Sebagai usaha mendorong rakyat untuk membaca, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) mengambil inisiatif melancarkan kempen ‘Jom Baca Bersama 10 Minit’.

Pengarahnya, Mastura Muhammad berkata, kempen terbabit diadakan sempena sambutan Hari Buku Sedunia yang diraikan pada 23 April setiap tahun.

“Pada 23 April inijam 11 pagi, saya mohon semua individu, pejabat dan komuniti untuk berhenti sebentar daripada melakukan sebarang pekerjaan atau aktiviti bagi membaca apa jua bahan selama 10 minit.

“Malah, ketika sedang mesyuarat atau memandu pun kita mohon berhenti sekejap. Jika memandu, berhenti kereta di tepi jalan dan baca sebentar, hanya jam 11 hingga 11.10 sahaja.

“Inisiatif ini bertujuan mendorong seluruh masyarakat membaca, dimulai dengan langkah awal selama 10 minit sebagai tanda komitmen semua pihak terhadap kepentingan membaca dalam kehidupan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Anugerah Cemerlang (APC) 2018 bagi Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, di Dewan Jubli Perak, di sini.

Pada masa sama, beliau berkata, PPAS sudah menjalankan kempen itu sejak enam tahun lalu dengan sambutan memberangsangkan.

Terdahulu, Kuala Lumpur dinobatkan sebagai Kota Buku Dunia 2020 oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).


Pengarang :