SELANGOR

Kempen kesedaran dilaksana di rumah ibadah, basmi denggi

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 18 APR: Berikutan rumah ibadah antara kawasan tertinggi dikesan positif pembiakan Aedes, kempen kesedaran perlu dilaksanakan bagi mengurangkan wabak itu.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, pihaknya akan meminta Ahli Majlis dan Ketua Kampung untuk membuat sesi pendidikan bagi menyedarkan orang awam menjaga kawasan persekitaran rumah ibadah terbabit.

Katanya, rumah ibadah yang sering menjadi sarang Aedes antaranya di masjid dan surau kerana terdapatnya kolam atau tempat tadahan air.

“Untuk makluman, Jabatan Kesihatan Selangor (JKS) sering pergi ke rumah ibadah sekitar Selangor dan kita sudah minta Ahli Majlis atau Ketua Kampung untuk ambil perhatian dalam soal penjagaan kebersihan.

“Ahli Majlis atau ketua kampung juga disaran untuk menampal poster kesedaran berkaitan denggi di kawasan rumah ibadah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Taklimat Pelaksanaan Selangor Bebas Aedes (Tempat Kerja dan Kuarters) Jabatan dan Agensi, di Auditorium Dewan Jubli Perak, di sini, semalam.

Mengulas sama ada kerajaan akan mengenakan kompaun terhadap rumah ibadah, katanya, pihaknya belum terfikir untuk melaksanakan pendekatan sedemikian sebaliknya fokus kepada kempen bagi menyedarkan orang awam dahulu.

“Buat masa ini, kompaun tidak akan dilaksanakan lagi namun kita ambil pendekatan seperti melaksanakan kempen kesedaran,” katanya.

Terdahulu, berdasarkan pengumpulan data JKS tahun lalu, rumah ibadah antara tertinggi menjadi tempat positif pembiakan Aedes iaitu 42.9 peratus diikuti tapak binaan 47.2 peratus dan pejabat kerajaan 18.8 peratus.

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)


Pengarang :