BERITA UTAMASELANGOR

Kempen pemilikan rumah catat lebih RM1.2 bilion nilai jualan

OLEH AFEEQA AFEERA

KELANA JAYA, 5 APRIL: Lebih RM1.2 bilion nilai rumah sudah terjual dalam tempoh tiga bulan kempen pemilikan rumah (HOC) diadakan, kata Zulkifly Garib.

Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Selangor berkata, skim yang memberi kelebihan dari segi pengecualian duti setem terbabit merancakkan penjualan rumah, termasuk Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).

“Semua rumah dalam Malaysia terlibat dalam kempen itu, dan hanya dalam tempoh tiga bulan banyak rumah terjual, berbanding tahun lalu.

“Hujung bulan ini akan keluar laporan berapa banyak rumah terjual, walaupun sebelum ini nilai rumah RM200,000 hingga RM300,000 susah terjual, tetapi dalam tempoh itu banyak sudah terjual,” katanya dalam sidang media di Wisma REHDA, di sini, pada 3 April lalu.

Mengulas lanjut, katanya, pemaju turut memiliki skim pinjaman pemilikan rumah, tetapi ia tidak serancak yang ditawarkan oleh pihak bank.

Zulkifly berkata, berbanding bank yang menawarkan rundingan secara meluas, pemaju pula sebaliknya perlu melihat keadaan kewangan syarikat mereka.

“Hanya bank boleh buat perundingan secara meluas, justeru saya cadangkan pemaju perlu ada usahama dengan pihak bank supaya pinjaman boleh dipermudahkan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan kerajaan bersetuju memberi pengecualian duti setem bagi surat cara pembelian rumah dan surat cara perjanjian pinjaman untuk rumah yang dijual sepanjang tempoh HOC diadakan dari Januari hingga Jun ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, bagi surat cara pembelian rumah, duti setem untuk rumah berharga RM1 juta akan dikecualikan sepenuhnya manakala tiga peratus bagi rumah berhaga dari RM1,000,001 hingga RM2.5 juta.

Katanya, surat cara perjanjian pinjaman juga diberikan pengecualian sepenuhnya sepanjang tempoh enam bulan ini bagi rumah berharga dari RM300,000 hingga RM2.5 juta ke bawah, berbanding kadar 0.5 peratus yang dikenakan ketika ini.

Selain itu, beliau berkata, pemaju juga bersetuju untuk memberi diskaun sekurang-kurangnya 10 peratus kepada rumah yang dijual dalam HOC itu.


Pengarang :