SUKANKINI

Kenal pasti tapak sesuai wujud Dataran Belia – EXCO

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 23 APR: Kerajaan Negeri dalam fasa mengenal pasti tapak sesuai untuk mewujudkan Dataran Belia kepada generasi muda di seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor.

EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan Dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) bagi menggerakkan pelaksanaan itu.

“Ini adalah peluang terbaik untuk diberikan kepada belia, malahan kini kita di peringkat untuk kenal pasti tapak yang akan dibuat setiap Ahli Dewan Negeri (ADN) seterusnya dibuka kepada golongan belia.

“Terbaharu, dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), kita juga akan menaik taraf padang yang mana setahun akan ada sebuah padang bola sepak atau gelanggang futsal melalui peruntukan Kerajaan Negeri dengan kerjasama ADN.

“Penyediaan fasiliti ini dapat memberikan kemudahan kepada belia dalam menjalankan aktiviti berfaedah,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Peringkat Negeri Selangor, di Carlton Holiday Hotel & Suites, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Selangor, Sabran Abu Bakar dan Presiden Majlis Belia Selangor, Hafez Shuriddin.

Pada masa sama, beliau yang juga ADN Paya Jaras berkata, Kerajaan Negeri turut akan memperkasakan sukan untuk Orang Kelainan Upaya (OKU) bagi mengembangkan lagi potensi sukan golongan berkenaan.

“Kita meminta setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya membantu menyediakan kemudahan khas sukan memandangkan usaha ini mampu memberi manfaat kepada belia OKU,” katanya.


Pengarang :