Keputusan rayuan Najib lucut kelayakan Sri Ram ditangguh | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Hafizan Taib

Keputusan rayuan Najib lucut kelayakan Sri Ram ditangguh

PUTRAJAYA, 23 APR: Mahkamah Rayuan hari ini menangguhkan keputusan berhubung rayuan oleh bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melucutkan kelayakan bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Sri Gopal Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan pada perbicaraan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang dihadapi Najib.

Mahkamah yang disidangi oleh panel tiga anggota, terdiri daripada Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Lau Bee Lan, menangguhkan penghakiman selepas mendengar hujah daripada pihak pendakwaan dan peguambela.

Najib merayu terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah yang, pada 1 Mac, menolak permohonannya untuk melucutkan kelayakan Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya kanan.


Hakim Sequerah tidak menemukan bukti untuk menunjukkan bahawa Sri Ram akan berat sebelah dalam mengendalikan kes itu. Beliau juga memutuskan bahawa Najib tidak mempunyai hak untuk meminta Sri Ram mengemukakan surat pelantikannya.

Hakim juga menolak permohonan Najib untuk menggantung sementara perbicaraan yang dijadualkan bermula pada 14 Mei, sementara menunggu mahkamah selesai mendengar rayuan tersebut.

Pada prosiding Mahkamah Rayuan hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berhujah bahawa kehadiran Sri Ram mengetuai pasukan pendakwaan tidak menyebabkan Najib dinafikan hak untuk mendapat perbicaraan yang adil dan bahawa Sri Ram bukan Timbalan Pendakwa Raya tunggal yang menjalankan pendakwaan mewakili Pendakwa Raya pada perbicaraan itu.

Najib menghadapi empat pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB, berjumlah RM2.28 bilion. Dia didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Bhd, No. 55, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon, antara 2011 dan 2014.

Ahmad Akram berkata: “Berdasarkan rekod, bersama Sri Ram, ada lapan lagi Timbalan Pendakwa Raya dari Jabatan Peguam Negara yang meliputi sebahagian daripada pasukan pendakwaan.”

Beliau berkata, Sri Ram hanya Timbalan Pendakwa Raya kanan dan beliau bukan hakim dalam kes itu.

“Sebagai Timbalan Pendakwa Raya, kita mempunyai kewajipan untuk membuktikan kes tanpa keraguan yang munasabah,” katanya sambil menambah bahawa pasukan peguambela takut dengan bayang-bayangnya sendiri.

Beliau juga berhujah bahawa Najib diwakli oleh pasukan peguambela yang sangat berkebolehan pilihannya sendiri.

“Jika pihak pendakwaan mahu bermain kotor atau menyembunyikan bukti yang kita tidak lakukan, perayu (Najib) dibela oleh pasukan peguam terkemuka dan handal diketuai oleh Tan Sri (Muhammad) Shafee (Abdullah) sendiri.

“Mereka kompeten untuk membela perayu pada perbicaraan dan memberi nasihat sewajarnya kepada perayu sepanjang perbicaraan kes itu. Bagaimana pula hak perayu di bawah perlembagaan dinafikan untuk mendapat perbicaraan yang adil boleh berlaku? ” katanya.

Ahmad Akram berkata, dakwaan bahawa Sri Ram menyelia pensiasatan jenayah dan menjalankan pendakwaan jenayah yang berpunca daripada penyiasatan sedemikian dibuat tanpa asas.

“Siasatan semula kes ini bermula pada Mei 2018. Pelantikan Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan hanya dibuat pada Ogos tahun yang sama. Oleh itu, dakwaan bahawa Sri Ram telah mengganggu siasatan adalah tidak berasas, “kata DPP.

Beliau juga berhujah bahawa tidak salah Timbalan Pendakwa Raya menyelia penyiasatan dan terlibat dalam pendakwaan terhadap kes yang sama.

“Penyeliaan meluputi tindakan Timbalan Pendakwa Raya memberi arahan dan nasihat mengenai hal perundangan, contohnya, pemeliharaan bukti, jejak dokumen, nasihat mengenai apa dan apa yang tidak dapat diterima dan sebagainya,” katanya.

Terdahulu, peguam Harvinderjit Singh, yang mewakili Najib, berhujah bahawa Sri Ram menganggap anak guamnya sebagai seseorang yang bersalah.

Beliau berkata, seorang yang bersikap adil akan menganggap bahawa Sri Ram tidak akan mengambil sikap yang tidak memihak dan tidak bersikap prejudis dan, oleh itu, beliau bukanlah pendakwa raya yang sesuai dalam kes Najib.

“Pada 20 September tahun lepas, semasa membentangkan kesnya dengan membantah ikat jamin bagi perayu, beliau (Sri Ram) berkata “perlakuan tertuduh seperti digambarkan oleh Peguam Negara Amerika Syarikat adalah bahawa ia adalah kleptokrasi yang paling buruk di dunia dan ini adalah kes kecurian, “katanya.

SUMBER: BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next