Selangorkini
PUTRAJAYA, 20 April — Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (tengah) bersama Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad bergambar bersama peserta larian ‘Eyeshade Walk & Run 2019’ oleh Yayasan Orang Buta Malaysia di Perkarangan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya hari ini. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Kerajaan bakal bincang cadangan tubuh NIAT

PUTRAJAYA, 20 APRIL: Cadangan penubuhan Institut Teknologi Sokongan Kebangsaan (NIAT) oleh Yayasan Orang Buta Malaysia (YOBM) akan dibincangkan dalam mesyuarat pasca kabinet Kementerian Kesihatan, kata menteri berkenaan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata walaupun masih di peringkat penjanaan idea, cadangan penubuhan NIAT dilihat objektif dalam memastikan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) mendapat manfaat daripada perkembangan dunia penyelidikan dan teknologi.

“Saya sangat teruja dengan idea penubuhan NIAT yang antara lain akan memberikan tumpuan kepada aspek pengupayaan OKU melalui penyelidikan dan pembangunan teknologi sokongan kepada golongan itu.

“Saya akan bawakan cadangan dan idea oleh YOBM ini ke dalam mesyuarat pasca kabinet kementerian untuk melihat bagaimana kerajaan boleh berperanan menjayakan agenda penubuhan NIAT,” katanya kepada pemberita selepas menyertai dan merasmikan program EyeShade Walk and Run 2019 anjuran YOBM di sini hari ini.

Hadir sama pada acara yang disertai lebih 500 peserta itu ialah Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abd Samad serta Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama YOBM Silatul Rahim Dahman.

Cadangan penubuhan NIAT dibangkitkan oleh Silatul Rahim dalam ucapan pembukaannya pada majlis tersebut selain turut menyentuh mengenai keperluan petugas barisan hadapan di premis kesihatan diberikan latihan cara berhadapan pesakit daripada golongan OKU serta keperluan tulisan braille pada bungkusan ubat-ubatan.

Mengulas mengenai hal itu, Dzulkefly berkata beliau memahami kepentingan bungkusan ubat-ubatan bersifat mesra OKU, khususnya orang buta.

“Bungkusan yang mesra orang buta itu sangat penting, begitu juga cadangan petugas kesihatan diberikan latihan menangani golongan OKU di premis kesihatan…hal ini juga akan dibawa ke mesyuarat pasca kabinet kementerian,” katanya.

Sementara itu, Silatul Rahim berkata penubuhan NIAT akan memastikan proses penyelidikan, pembangunan dan penyediaan teknologi sokongan kepada OKU dapat dilaksanakan dengan lebih bersistematik.

Beliau berkata ketika ini kira-kira 10 peratus daripada 30 juta penduduk di Malaysia hidup dengan satu kecacatan dan amat bergantung dengan peralatan sokongan.

Ramai OKU hidup dan menjalani rutin harian dengan bantuan fungsi alatan sokongan dan tanpa teknologi sokongan, mereka akan menjadi OKU berganda, katanya. -BERNAMA


Pengarang :