NASIONAL

Kerajaan laksana Strategi Keselamatan Siber Negara pertengahan tahun ini

KUALA LUMPUR, 3 APRIL: Kerajaan melalui Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) akan mengeluar dan melaksanakan Strategi Keselamatan Siber Negara pada pertengahan tahun ini bagi menangani ancaman keselamatan siber secara komprehensif, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Strategi itu katanya akan dilaksanakan melalui penggemblengan sumber tenaga, dan pembangunan prasarana yang memfokuskan kepada pembentukan Jawatankuasa Kerja Keselamatan Siber Kebangsaan bagi memastikan negara dapat mengoptimumkan penggunaan sumber sedia ada.

“Ancaman keselamatan siber akan terus memberi cabaran kepada pengurusan keselamatan negara, apabila berlaku peningkatan kebergantungan kepada teknologi-teknologi baharu yang bermanfaat, tetapi pada masa yang sama mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara,” katanya di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) mengenai usaha kerajaan membendung ancaman siber yang boleh menggugat kedaulatan negara.

Media awal tahun lepas melaporkan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) berkata dasar dan strategi itu adalah bagi mengekang serangan siber dari dalam dan luar negara termasuk mengawal maklumat peribadi pengguna internet.

Menjelaskan lebih lanjut, Dr Wan Azizah berkata kerajaan juga mengambil langkah proaktif bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan negara dalam menghadapi ancaman dan serangan siber melalui pembangunan dan pelaksanaan Pelan Pengurusan Krisis Siber Negara (NCCMP).

Pelan itu katanya, dibangunkan berdasarkan kepada rangka kerja pengurusan risiko yang menggariskan strategi bagi mengurangkan kesan serangan siber dan tindakbalas yang perlu dilaksanakan agensi Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (CNII) yang terdiri daripada pelbagai agensi awam dan swasta.

Katanya, antara yang dilaksanakan adalah Latih Amal Krisis Siber Negara (X-Maya) bertujuan menguji keberkesanan prosedur dan membiasakan agensi CNII dengan mekanisme pengendalian insiden siber, serta meningkatkan tahap keupayaan dan kesiapsiagaan agensi bagi menghadapi sebarang ancaman siber. -BERNAMA


Pengarang :