SELANGOR

Kerajaan Negeri beri ruang siasatan kes kematian di PPR

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 17 APR: Kerajaan Negeri akan menunggu hasil laporan penuh pihak berkuasa berhubung kes kematian Khorilsyahrulnizam Che Norizam yang terjatuh dari tingkat tujuh kediamannya sebelum menentukan sebarang tindakan, kata Haniza Talha.

Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar itu berkata, beliau memberi ruang kepada siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian membabitkan pelajar berusia 15 tahun itu di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seksyen 8, Kota Damansara, kelmarin.

“Lawatan saya hari ini (semalam) tidak melihat insiden yang berlaku ada kaitan dengan masalah bangunan kerana pagar atau penghadang di koridor ini tinggi dan sukar untuk sesiapa bolos melainkan ia dipanjat.

“Tiada sebarang kesan ditemui, malahan tiada sesiapa nampak kejadian dan kebanyakan penduduk sedar mangsa terjatuh. Jadi sebaik-baiknya kita tunggu hasil siasatan,” katanya.

Semalam, Haniza melawat keluarga Allahyarham Khorilsyahrulnizam dan bertemu ibunya, Seri Sunarti Sukaji susulan kejadian menyayat hati serta menyampaikan sumbangan.

Beliau berkata, keluarga berkaitan juga akan diberikan bantuan lain seperti kaunseling bagi mengurangkan trauma akibat insiden itu.

Dalam perkembangan sama, Ahli Dewan Negeri (ADN) Lembah Jaya itu juga menginatkan ibu bapa supaya memantau dan memerhatikan pergerakan anak-anak mereka serta berharap pembukaan pusat aktiviti kanak-kanak di PPR dipercepatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).


Pengarang :