SELANGOR

Kerajaan Negeri bina garis panduan pembangunan semula

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

HULU KELANG, 29 APR: Kerajaan Negeri sedang merangka satu garis panduan baharu terhadap program pembangunan semula di kawasan perumahan lama.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Mohamed Talha berkata, garis panduan dibina melalui portfolionya itu akan mengetengahkan dua perkara utama.

“Kita mahu supaya ketika projek pembangunan semula itu dijalankan, penduduk tidak dipindahkan dari kawasan terbabit dengan makna mereka tinggal di situ.

“Kedua, kita akan pastikan jika pembangunan semula itu mewujudkan rumah yang baharu, mesti masukkan beberapa peratus unit rumah mampu milik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media mengenai keretakan serius di Blok F Pangsapuri Taman Keramat Permai, di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, ketika ini sudah ada beberapa kawasan yang sudah memohon untuk pembangunan semula tapi perlu menunggu sehingga garis panduan itu selesai dirangka.

“Antara kawasan yang sudah memohon adalah di Pandan, Petaling Jaya, Klang, Subang Jaya dan Shah Alam,” katanya.

Mengulas mengenai Pangsapuri Taman Keramat Permai, Haniza berkata, untuk membangunkan semula kawasan itu, perlu mencari satu kawasan kosong yang sesuai untuk dibina satu blok baharu sebagai blok pertama.

“Mungkin ada keperluan untuk kawasan ini dibangunkan semula tetapi kita kena kenal pasti mana kawasan kosong untuk kita bangunkan blok pertama.

“Cabaran lainnya adalah mendapatkan persetujuan daripada 100 peratus pemilik unit yang bersetuju untuk membangunkan semula kawasan ini,” katanya.

FOTO: FIKRI YUSOF (SELANGORKINI)


Pengarang :