SELANGOR

Kerajaan sambut baik pelabur asing ke Kuala Langat

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

KUALA LANGAT, 19 APR: Kerajaan menyambut baik kemasukan lebih banyak pelabur asing ke Kuala Langat bagi mengukuhkan ekonomi dan kestabilan politik di negara ini.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, ia berikutan Kuala Langat adalah kawasan strategik yang menjadi tarikan pelabur asing kerana berdekatan dengan Pelabuhan Barat dan Pelabuhan Selatan.

Katanya, menerusi pelaburan itu ia mampu menambah peluang pekerjaan khususnya kepada penduduk tempatan.

“Oleh itu, sektor industri kilang sudah pasti akan mencapai kecemerlangan ekonomi negara dalam jangka masa panjang.

“Justeru, industri kilang baharu perlu mengikut standard operasi prosedur yang ketat, penjagaan alam sekitar dan mengikut syarat ditetapkan pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan ke kilang Leoch Accupower Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Sementara itu, Xavier merangkap Ahli Parlimen Kuala Langat berkata, pihak berkuasa perlu meneliti kawasan bersesuaian dan cadangan untuk dijadikan tempat industri.

Katanya, beliau menasihatkan pihak yang ingin memulakan industri kilang perlu mengikut peraturan dan garis panduan ditetapkan agensi kerajaan.

“Saya mohon pihak Majlis Daerah Kuala Langat bekerjasama dengan pejabat tanah untuk memastikan kilang yang bakal dibangunkan mendapat kelulusan daripada mereka sebelum ia dibina.

“Pada masa sama, bagi menangani isu sisa plastik di kawasan ini, saya menyeru kepada pihak berkuasa memberi lebih perhatian dan penguatkuasaan lebih ketat untuk memberhentikan kemasukan bahan berkaitan di negara ini,” katanya.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)


Pengarang :