NASIONAL

Kerajaan sasar PKS sumbang RM500 bilion pada 2020

KOTA BHARU, 20 APRIL: Kementerian Pembangunan Usahawan menyasarkan hasil sumbangan ekonomi daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mencecah RM500 bilion, menjelang akhir 2020.

Timbalan Menterinya, Datuk Mohd Hatta Md Ramli berkata, kementerian akan memberi tumpuan untuk membantu usahawan PKS dengan mencari pasaran lebih besar kepada mereka.

“Ini termasuklah mengeksport hasil keluaran mereka dan yang belum mula (berniaga), kita galakkan dengan perniagaan kecil dahulu,” katanya selepas merasmikan Majlis Makan Malam Kelab Usahawan Wanita Kelantan (KUWAK), Sempena Mesyuarat Agung ke-3, malam tadi.

Hadir sama, Pengerusi KUWAK, Nor Ariati Salleh di sini.

Mohd Hatta berkata, sehingga kini hampir satu juta usahawan sudah berdaftar di bawah kementeriannya dengan 97 peratus daripada jumlah itu adalah usahawan PKS.

“Walaupun jumlah usahawan PKS kita ramai, namun sumbangan mereka kepada ekonomi negara masih kecil sekitar 37 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar,” katanya.

Beliau berkata, jika usahawan dapat mempertingkatkan hasil perniagaan mereka, ia akan mewujudkan kumpulan masyarakat yang berupaya keluar daripada kemiskinan serta kelompok B40 untuk menjadi lebih berjaya.

“Ia bukan mustahil terutama dalam kalangan wanita, malah kementerian kita pun menyasarkan usahawan daripada kaum wanita selain daripada graduan yang tidak bekerja selepas tamat belajar untuk mempertingkatkan perniagaan dan mutu kehidupan mereka,” katanya. -BERNAMA


Pengarang :