NASIONAL

Kerajan peruntuk RM140 juta hantar barang ke pedalaman

KUCHING, 21 APRIL: Kerajaan memperuntukkan RM140 juta untuk menampung kos pengangkutan barangan keperluan asas ke kawasan luar bandar dan pedalaman di bawah Program Penyeragaman Harga, di seluruh negara.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Chong Chieng Jen berkata, daripada jumlah itu, RM80 juta diperuntukkan hanya untuk Sarawak sahaja.

“Antara barangan keperluan asas yang ditanggung kerajaan daripada segi kos pengangkutan atau penghantaran adalah beras, tepung, gula, minyak masak, gas (petroleum cecair) LPG, (petrol) RON 95 dan diesel.

“Program ini diuruskan melalui tender terbuka dan dimulakan sejak 1 April lalu,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Chong juga tidak menafikan harga barangan di kawasan pedalaman agak mahal dan berlaku ketirisan.

“Oleh itu, kementerian sentiasa mengarahkan kakitangan memantau harga di pedalaman dan menjalankan pemeriksaan dari semasa ke semasa supaya harga barangan keperluan berkenaan terkawal,” katanya.

Pada masa sama, katanya, kementerian bercadang untuk melanjutkan tempoh Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) bersempena sambutan Hari Gawai dan Hari Raya Aidilfitri yang akan datang.

“Biasanya tempoh SKHMP ini adalah 15 hari, kali ini kementerian akan melanjutkan tempoh itu kepada 20 hingga 30 hari.

“Ini adalah satu langkah untuk mengawal jenis barang keperluan sebagai barangan harga terkawal musim perayaan untuk ditetapkan harga maksimum,” katanya. -BERNAMA


Pengarang :