SELANGOR

Kerja baik pulih LRA SSP2 siap 70 peratus

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 24 APR: Kerja penambahbaikan sistem bekalan air di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2) sudah berada di tahap 70 peratus dan berjalan mengikut jadual.

Perkara itu dimaklumkan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan yang dimuatnaik menerusi laman Facebook rasminya sekitar jam 6 petang tadi.

“Air Selangor sedang bertungkus lumus sejak jam 9 pagi tadi bagi memastikan pelanggan menerima air seperti yang sudah ditetapkan.

“Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh mendapatkan maklumat di laman Facebook atau aplikasi Air Selangor yang boleh didapati menerusi Google Play atau Apps Store,” katanya.

Terdahulu, kira-kira 4.1 juta pengguna di Selangor dan Kuala Lumpur dijangka berdepan gangguan bekalan air bermula hari ini sehingga 27 April ini.

Gangguan itu membabitkan 577 kawasan di enam daerah di Selangor iaitu Klang, Shah Alam, Petaling, Gombak, Kuala Langat dan Kuala Selangor termasuk Kuala Lumpur.

Masalah itu juga ekoran sistem paip dan kabel elektrik 32 kiloWatt yang memerlukan penambahbaikan segera bagi mengelakkan letupan sistem dan gangguan tidak terancang.

Bagaimanapun, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, beliau memberi jaminan tempoh gangguan bekalan air yang dialami penduduk di negeri itu tidak akan melebihi tiga hari.


Pengarang :