SELANGOR

Kerja baikpulih rumah akibat ribut di Tanjong Karang selesai

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 2 APR : Kerja baikpulih rumah penduduk yang mengalami kerosakan akibat ribut di Tanjong Karang pada awal  Februari lalu, telahpun selesai.

Ahli Dewan Negeri Permatang, Rozana Zainal Abidin berkata, bagaimanapun bagi kerja pembinaan semula rumah baru telah siap hampir 40 peratus.

Katanya, pembinaan semula itu membabitkan 14 buah rumah penduduk dengan kos baikpulihnya ditanggung sepenuhnya oleh Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).

“Alhamdulillah semua kerja berjalan lancar, namun saya ingin nasihatkan jika penduduk ditimpa bencana akibat ribut sekali lagi, sila hubungi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung atau Pihak Berkuasa Tempatan untuk tindakan selanjutnya.

“Serta jangan lupa mengambil gambar keadaan rumah yang rosak dan buat laporan polis dengan segera.

“Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Pejabat Daerah Kuala Selangor, Unit Bencana Negeri, Lembaga Zakat Selangor, Majlis Daerah Kuala Selangor; Polis Diraja Malaysia (PDRM); Jabatan Kebajikan Malaysia; Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan anggota bomba serta pihak yang banyak membantu,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Sebelum ini dilaporkan beberapa kampung di Tanjong Karang ditimpa bencana ribut terburuk dalam tempoh 20 tahun.

Kejadian pada 10 Februari itu menyaksikan 48 kediaman mengalami kerosakan kecil, 91 kerosakan sederhana dan 24 lagi mengalami kerosakan serius.

Berita duka itu mendapat perhatian Dato Menteri Besar, Amirudin Shari dengan mengadakan lawatan ke lokasi kejadian ribut bagi melawat rumah mangsa di Kampung Sawah Sempadan, pada 13 Februari lalu.

Antara kampung terlibat adalah Kampung Seri Tiram Jaya; Kampung Blok COJ; Kampung Blok DKPV dan Kampung Parit Serong.

Kejadian itu turut mengejutkan penduduk kerana cuaca pada hari berkenaan cerah dan tidak menunjukkan sebarang malapetaka akan menimpa pada waktu petang, hari yang sama.

Akibat kejadian berkenaan, MBI menyalurkan kira-kira RM1.6 juta buat kesemua 183 mangsa.

Jumlah tersebut merangkumi sumbangan baik pulih kerosakan rumah iaitu RM500 bagi kerosakan kecil, RM5,000 kerosakan sederhana, RM20,000 kerosakan serius dan RM50,000 bantuan untuk pembinaan semula.

 


Pengarang :