NASIONAL

Kerja tidak setaraf kelayakan punca gaji siswazah turun

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 3 APRIL: Gaji permulaan siswazah menurun kebelakangan ini ekoran pekerjaan dilakukan golongan itu tidak setaraf kelulusan, selain kos kehidupan meningkat.

Presiden Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Raduan Che Rose berkata, hanya 65 peratus daripada 200,000 siswazah lulusan universiti berjaya mendapatkan pekerjaan dalam bidang dipelajari.

Manakala, selebihnya hanya menerima kerja yang tidak memerlukan ijazah kerana desakan hidup.

“Selain kenaikan kos sara hidup, kuasa membeli seseorang lepasan ijazah yang baru memasuki alam pekerjaan juga dilihat semakin mengecil sekarang.

“Jika dulu dengan gaji RM2,000, mereka boleh membeli pelbagai keperluan dan barangan, namun pada hari ini dengan gaji sebanyak itu kuantiti barang yang boleh dibeli berkurang,” katanya.

Terdahulu, Laporan Tahunan 2018 Bank Negara Malaysia (BNM) menyatakan gaji permulaan bulanan benar bagi kebanyakan siswazah baharu di negara ini menurun sejak 2010 selepas mengambil kira faktor inflasi.

Siswazah baharu yang berkelulusan diploma mendapat gaji benar sebanyak RM1,376 pada 2018 berbanding RM1,458 pada 2010.

Sementara itu, gaji benar pemegang ijazah sarjana muda adalah RM1,983 pada 2018 berbanding RM1,993 pada 2010, manakala pemegang ijazah sarjana memperoleh gaji benar RM2,707, daripada gaji RM2,923 pada 2010.


Pengarang :