BERITA UTAMASELANGOR

Kerjasama semua pihak tangani wabak denggi

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 16 APRIL: Kerajaan Negeri menggesa semua pihak berwajib supaya bekerjasama dengan masyarakat setempat dalam usaha membanteras wabak denggi, di Selangor.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, melalui tindakan kendiri dijalankan masyarakat, wabak berkenaan dapat dicegah daripada meningkat seterusnya menjayakan program ‘Selangor Bebas Denggi’.

“Kita perlu bertindak tanpa berlengah bagi mendepani isu denggi ini melalui tumpuan khas.

“Antara faktor wabak ini berlaku disebabkan sikap tidak ambil peduli soal pembiakan jentik-jentik sedangkan sepatutnya setiap pemilik premis perniagaan atau kediaman perlu memastikan kawasan masing-masing dalam keadaan bersih,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perasmian program Gotong-Royong Perdana Basmi Denggi peringkat Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di Pangsapuri Medan Cahaya, di sini, baru-baru ini.

Haniza berkata, sebanyak 21 lokaliti dikenal pasti di kawasan pentadbiran MBPJ dan dikategorikan sebagai lokaliti hotspot dengan 123 kes pada minggu ke 14, menurun 20 peratus daripada minggu sebelumnya iaitu 153 kes.

“Antaranya Prima Damansara, Pangsapuri Pelangi Damansara PJU 6, Desa Mentari, Desa Ria, Mentari Court, Desa Perangsang, Apartmen Suria dan Taman Medan Baru.

“Ia menjadikan jumlah lokaliti wabak adalah 65 lokaliti dengan 30 lokaliti wabak aktif, satu lokaliti baharu dan enam lokaliti tidak terkawal,” katanya.

Sehubungan itu, Haniza berkata, Kerajaan Negeri mengambil langkah proaktif mengadakan gotong-royong perdana itu di 12 Pihak Berkuasa Tempatan seluruh negeri.

Katanya, ia bertujuan memastikan semua pihak terutama komuniti menjaga kediaman sendiri supaya terhindar daripada menjadi punca pembiakan nyamuk ke arah kawasan berdaya huni, sihat, selamat dan aman.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sebanyak 22,754 kes terkumpul di Selangor dari 30 Disember hingga April 2019.

Ia diikuti 3,168 Kuala Lumpur dan Johor (3,106 kes) serta Pulau Pinang (2,200 kes).


Pengarang :