SELANGOR

Kerjasama strategik MBI-RAC bangun aset kereta api

OLEH NADIAH ZAMLUS

SUBANG JAYA, 11 APRIL: Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Perbadanan Aset Keretapi (RAC), bagi menjalin kerjasama strategik membangunkan aset kereta api di negeri ini.

MoU itu menyaksikan Kerajaan Negeri dan Persekutuan akan membangunkan aset kereta api secara strategik, termasuk kediaman mampu milik dan pelaksanaan inisiatif Smart Selangor dalam kawasan hab transit.

Kerjasama itu sekali gus menyokong visi Selangor untuk menjadi Negeri Pintar menjelang 2025.

Memorandum ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Raja Shahreen Raja Othman dan Pengurus RAC, Azhar Ahmad yang turut disaksikan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Raja Shahreen berkata, jalinan kerjasama itu membolehkan Kerajaan Negeri, MBI dan RAC meneroka pembangunan aset kereta api bagi meraih nilai tertinggi aset melalui Pembangunan Berorientasikan Transit bertujuan merancakkan pembangunan persekitaran komuniti kondusif dan mampan di Selangor.

“Pembangunan ini akan menyediakan perumahan yang sesuai dan mampu milik dengan rangkaian baik serta pada masa sama merangsang pembangunan ekonomi di sekitar stesen kereta api,” katanya.

Sementara itu, Azhar berkata, inisiatif RAC membuktikan Kementerian Pengangkutan serius dalam menyokong kerajaan merealisasikan Dasar Perumahan Negara 2018-2025 untuk membina lebih banyak rumah mampu milik.

“Pembinaan rumah mampu milik di kawasan pembangunan berorientasikan transit bukan sahaja memudahkan akses kepada sistem transit, malah membawa kewujudan perbandaran mampan dan lestari di samping mengurangkan kesesakan jalan raya serta menjimatkan masa.

“Saya juga percaya dengan cara ini, peluang perniagaan baharu dapat diwujudkan, yang akan meningkatkan pendapatan RAC supaya hasilnya dapat disalurkan bagi pembangunan sektor perkhidmatan pengangkutan awam (kereta api),” katanya.

Majlis MoU itu diadakan bersempena penganjuran MBI Selangor Synergies siri 7 yang membincangkan ‘Selangor Maritime Gateway’ bertempat di Hotel Dorsett Grand Subang, hari ini.

Terdahulu, RAC merancang untuk membangunkan projek perumahan mampu milik di sebahagian 3,237.5 hektar tanah kereta api miliknya di seluruh negara.


Pengarang :