RENCANA

Keropok Tok Yam: Bersih, enak, garing

OLEH KAMALIZA KAMARUDDIN

MARANG, 1 APR: Pembuatan keropok bukan sahaja bergantung pada campuran bahan untuk memastikan rasa yang enak dan garing tetapi juga melibatkan kebersihan perkakas untuk memprosesnya.

Lebih-lebih lagi apabila makanan tersohor Terengganu itu turut melibatkan isi ikan yang pastinya mengundang lalat jika tidak dijaga dengan rapi boleh menyebabkan pembeli termakan telur serangga itu, yang boleh menjejaskan kesihatan.

Menyedari kepentingan kebersihan, pengusaha keropok keping jenama Tok Yam, Hawa Abd Rahman, 58, mengambil pelbagai inisiatif termasuk mendapatkan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia.

Hawa, yang menubuhkan syarikat Hamie Food Industries Sdn Bhd pada 2014, menjadikan kawalan dan syarat ketat yang ditetapkan oleh dua pihak itu sebagai benteng untuk dirinya terus konsisten menjaga kesihatan pembeli produk keluaran syarikatnya.

Tinjauan Bernama ke kilang pemprosesan dan pembungkusan keropok di syarikat itu baru-baru ini mendapati keadaan sekeliling sangat bersih malah isi ikan yang belum dicampur dengan tepung sagu ditutup sebaiknya dalam bekas khas.

Bukan itu sahaja, peralatan kilangnya dicuci sebelum dan selepas menggunakannya bagi membuang habuk.

“Saya tidak sanggup melihat keadaan kawasan memproses yang kotor, bagaikan sengaja aniaya pelanggan. Produk Tok Yam telah mendapat sijil halal dan pengiktirafan MeSTI pada 2014.

Saya mendidik pekerja untuk mematuhi syarat yang ditetapkan. Alhamdulillah kilang kami sentiasa menjadi rujukan kepada banyak pihak dan bukan sahaja daripada sudut proses, malah mesin yang ada di sini tahan karat”, katanya.

Menceritakan peringkat awal penglibatan dalam perniagaan keropok, beliau yang menggunakan resipi istimewa turun temurun menerusi ibunya Allahyarham Mariam Mat Zain berkata, pada awalnya proses pembuatan keropok keping juga dilakukan secara manual.

Lama kelamaan, ibu kepada empat anak itu akhirnya membeli beberapa mesin pemotong untuk mempercepatkan proses pengeluaran sehinggalah syarikatnya mendapat kepercayaan pihak kerajaan dan diberi bantuan menerusi pelbagai agensi.

“Alhamdulillah, perlahan-lahan syarikat kami mula menerima geran serta pinjaman perniagaan lebih RM500,000 daripada MARA (Majlis Amanah Rakyat), pemberian mesin bernilai RM250,000 daripada SME Corp, geran pengiklanan daripada Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu, mesin pengering RM200,000 daripada SIRIM, serta bantuan lain daripada MARDI (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia) dan FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan),” katanya.

Selain bantuan geran dan pinjaman perniagaan, Hawa berkata beliau juga sering mengikuti pelbagai promosi yang dianjurkan agensi kerajaan di dalam dan luar negara.

“Sebagai usahawan, kita perlu bijak mengintai peluang yang disediakan kerajaan kerana terdapat banyak bantuan dan dana oleh agensi berkaitan keusahawanan. Itu nasihat yang selalu saya beri kepada mereka yang mahu berjinak-jinak dalam perniagaan.

“Paling penting, perniagaan perlu dilakukan secara bersistem untuk memudahkan proses pemantauan agensi kerajaan ini kerana mereka mahu ambil tahu perkembangan terkini syarikat dan impak bantuan yang diberikan,” katanya.

Kebiasaannya, pembuatan keropok keping secara tradisional di Terengganu di beberapa kampung tradisi yang terkenal sebagai pusat pengeluarannya, menggunakan cahaya matahari sepenuhnya sebagai kaedah mengeringkan keropok.

Proses pengeluaran secara tradisional ini akan terjejas setiap kali musim tengkujuh tiba kerana keropok tidak dapat dijemur bagi tempoh yang cukup untuk memastikannya kering dengan sempurna.

Namun, di kilang Hamie Food Industries, proses itu dapat dilakukan sepanjang masa dengan penggunaan mesin pengering berteknologi canggih yang disediakan SIRIM.

Selain itu, Hawa berkata tahap kebersihan semasa proses pengeringan juga lebih terjamin di kilang itu kerana tiada haiwan seperti ayam, kucing mahupun lalat berisiko mencemari kebersihan keropok Tok Yam.

“Setakat ini, kami sudah memiliki puluhan wakil di seluruh negara, malah ada juga usahawan yang menjual keropok keping keluaran syarikat kami menggunakan jenama mereka kerana ia lebih mudah berikutan produk kami sudah memenuhi piawaian industri,” katanya.

— BERNAMA

 


Pengarang :