NASIONAL

Kes babit akaun bapa Jho Low didengar pada 19 Julai

KUALA LUMPUR, 19 APR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 19 Julai bagi mana-mana pihak ketiga yang berhasrat menentang perlucuthakan wang lebih RM48 juta yang dirampas daripada tujuh akaun bank milik Tan Sri Larry Low Hock Peng, bapa ahli perniagaan dalam buruan Jho Low, untuk hadir di mahkamah.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh perbicaraan itu untuk pihak-pihak berkenaan hadir menunjukkan sebab mengapa harta berkenaan tidak boleh dilucuthakkan kepada kerajaan.

Mohamed Zaini juga bersetuju dengan permohonan pendakwaan supaya mewartakan notis yang mempelawa pihak ketiga hadir mengemukakan alasan terhadap tindakan pelucuthakan itu beberapa hari atau minggu sebelum perbicaraan.

“Terdapat keperluan mewartakan notis supaya sebarang tuntutan diketahui oleh mahkamah sebelum mahkamah dapat mempertimbangan perlucuthakan aset berkenaan,” kata hakim.

Wang yang dibekukan oleh pihak berkuasa dalam akaun Larry Low dipercayai sebahagian daripada penyiasatan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Aaron Abilash Paul Chelliah memberitahu mahkamah bahawa pihak berkuasa tidak mengetahui di mana responden (Larry Low) berada sebagaimana disahkan dalam afidavit pegawai penyiasat Supt Foo Wei Min, yang menunjukkan beliau tidak berada di Malaysia.

“Polis juga memfailkan tuduhan terhadap beliau dan waran tangkap telah dikeluarkan. Kami memohon bantuan Interpol untuk mengesan beliau tetapi setakat ini tidak berjaya,” katanya dan memohon supaya notis berkenaan dikeluarkan.

Pada 29 Mac, kerajaan memfailkan tindakan pelucutan sivil untuk membekukan tujuh akaun bank milik Larry Low dengan mendakwa ia adalah hasil daripada kegiatan pengubahan wang haram.

Notis penyitaan bertarikh 17 Januari 2019 yang ditujukan kepada Goh Gaik Ewe, 66, ibu Jho Low, dikeluarkan mengikut Subseksyen 51 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :