Kes Najib tegang, peguam pertikai pendakwa | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Afeeqa Afeera

Kes Najib tegang, peguam pertikai pendakwa

KUALA LUMPUR, 17 APRIL: Perbicaraan hari keempat kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menghadapi tujuh pertuduhan membabitkan dana SRC International Sdn Bhd menjadi tegang selepas pembelaan mempertikai kaedah pemeriksaan semula oleh pendakwaan.

Semasa pemeriksaan semula saksi kedua pendakwaan, Pengurus Bank Negara Malaysia Azizul Adzani Abdul Ghafar, peguam Harvinderjit Singh berkata pendakwaan hanya perlu menyoal perkara yang dibangkitkan semasa pemeriksaan balas.

“Ini adalah pemeriksaan semula… mungkin rakan saya yang bijaksana perlu merujuk kepada soalan dan jawapan,” katanya.


Pendakwaan yang diketuai Peguam Negara Tommy Thomas bangun dan berkata setiap orang memiliki gaya tersendiri ketika menjalankan pemeriksaan utama, pemeriksaan balas atau pemeriksaan semula.

“Kami tidak perlukan pembelaan untuk mengajar kami. Kami tidak perlukan peguam bela untuk mencadangkan kaedah pemeriksaan semula.

“Kami telah mendengar pemeriksaan balas sehingga lima jam. Kami beri ruang kepada beliau (Harvinderjit)…Tak bolehkah berikan ruang yang sama (kepada pendakwaan)?

“Gaya pemeriksaan oleh setiap peguam adalah berbeza. Saya telah melakukan perbicaraan selama 42 tahun,” katanya.

Harvinderjit: Saya tidak mencadangkan sebarang gaya pemeriksaan tertentu kepada pendakwa raya.

“Cara DPP mengemukakan soalan adalah seperti meletakkan kata-kata dalam mulut saksi,” katanya

Harvinderjit juga berkata ini bukan soal pengalaman, sebaliknya menurut Seksyen 138 subseksyen 3 Akta Keterangan 1950, pemeriksaan semula hendaklah ditumpukan kepada penjelasan berhubung perkara-perkara yang disentuh dalam pemeriksaan balas.

“Ini bukan soal masa, Yang Arif. Perlu ada konteks, sama ada soalan spesifik,” katanya.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata “sebut sahaja perkara yang anda ingin periksa semula.”

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali sedang berlangsung.
-BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next