NASIONAL

Ketengahkan komik tempatan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 16 APRIL: Komik yang mengetengahkan watak atau unsur tempatan bakal lenyap jika tiada langkah konkrit diambil mana-mana pihak untuk membantu golongan terbabit.

Penasihat Persatuan Penggiat Komik Malaysia (PEKOMIK), Mazli Ibrahim berkata, generasi kini hanya lebih mengenali Doraemon, Batman, Spiderman dan Pokaemon berbanding komik bercirikan tempatan.

Katanya, karyawan tempatan sangat memerlukan bantuan kerajaan bagi memastikan kesinambungan komik berunsur tempatan.

“Komik seperti Doraemon membawa unsur kehidupan rakyat Jepun, begitu juga Spiderman, Batman dan lain-lain dari barat membawakan unsur tempatan masing-masing sedangkan pada era 1980-an dan 1990-an kita banyak menerbitkan komik bercirikan tempatan.

“Semakin lama anak kita tidak kenal seni kartun dan komik tempatan dengan kisah realiti masyarakat seperti dibanggakan kerajaan dan rakyat,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Mazli yang juga dikenali sebagai Gayour berkata, walaupun terdapat animasi tempatan popular seperti Upin dan Ipin dan Boboiboy, namun ia adalah medium berbeza berbanding komik.

Pada masa sama, katanya, permintaan masyarakat terhadap komik berunsur tempatan masih ada khasnya dalam kalangan generasi 1980-an dan 1990-an.


Pengarang :