A’ZAZ (Syria), 20 April — Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Islam Malaysia (Mapim) Dr Ahmad Sani Araby Al Kahery (kiri) melakukan perasmian pecah tanah di tapak projek di kem Qadisiyah, A’zaz semalam. Kompleks Perumahan Wakaf Mapim Malaysia adalah salah satu projek yang direncana bagi merealisasikan Perkampungan Wakaf Mapim Malaysia bagi memanfaatkan 100 keluarga, di samping projek pembinaan dua buah Sekolah Wakaf Mapim Malaysia juga sedang dibina di kawasan A’zaz dan juga di Danaa, Idlib yang mana kedua-dua sekolah itu bakal menempatkan 3,000 pelajar. Selain itu Mapim melalui projek kerjasama dengan agensi wakaf Turki, Turkiye Diyanet Foundation (TDV) juga sedang membina sebuah masjid di kawasan A’zaz ini yang boleh menempatkan 400 jemaah pada satu-satu masa, yang mana kesemua projek itu akan menggunakan reka bentuk binaan Malaysia dan bakal siap sepenuhnya sekurang-kurangnya sebelum hujung tahun ini. Projek perumahan yang dijangka siap Nov ini akan memberikan keutamaan kepada anak-anak pelarian yang telah menjadi yatim piatu dan juga kepada keluarga yang mempunyai ahli yang tercedera akibat ditembak atau dibom oleh tentera rejim untuk memohon dan mendiami rumah ini. — fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
GLOBAL

Kompleks rumah wakaf MAPIM manfaat pelarian Syria

SYRIA, 20 APRIL: Projek Kompleks Perumahan Wakaf Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) di kem Qadisiyah bakal dilengkapi sistem perparitan sistematik dan efektif, bagi menangani masalah banjir lumpur kritikal yang melanda kawasan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, Dr Ahmad Sani Araby Al Kahery berkata, projek bernilai RM3 juta itu adalah inisiatif pihaknya melalui sumbangan rakyat Malaysia yang bakal memanfaatkan 100 keluarga pelarian Syria untuk memohon dan menduduki perumahan tetap itu.

“Projek itu dijangka siap November ini dan akan memberikan keutamaan kepada anak-anak pelarian yang menjadi yatim piatu dan keluarga yang mempunyai anggota tercedera akibat ditembak atau dibom tentera.

“Malahan pihak kita mengambil kira dariipada sudut strategiknya kawasan kem Qadisiyah ini kerana ia terletak berhampiran sempadan Turki-Syria,” katanya kepada Bernama selepas majlis pecah tanah kompleks perumahan itu, di sini.

Beliau berkata, projek pembinaan itu membabitkan 100 unit rumah batu dengan tiga bilik, hasil sumbangan RM2,500 untuk satu bahagian penderma, rentetan daripada projek Wakaf Myhome for Syrian Family yang digerakkan MAPIM, bermula tahun lalu.

Ahmad Sani Araby berkata, perumahan itu adalah antara projek yang direncana bagi merealisasikan Perkampungan Wakaf MAPIM Malaysia.

Selain itu, terdapat juga projek pembinaan dua buah Sekolah Wakaf MAPIM Malaysia sedang dibina di kawasan ini dan Danaa, Idlib dengan kedua-duanya bakal menempatkan 3,000 pelajar.

MAPIM melalui projek kerjasama dengan agensi wakaf Turki, Turkiye Diyanet Foundation (TDV) juga sedang membina sebuah masjid di kawasan A’zaz yang boleh menempatkan 400 jemaah, pada satu-satu masa dengan reka bentuk binaan Malaysia dan bakal siap, hujung tahun ini.

Katanya, pihaknya masih memerlukan RM2 juta lagi bagi menampung dan menambah baik sebarang perubahan atau kerosakan yang tidak terjangka jika terjadi.

Beliau berkata, MAPIM meminta rakyat Malaysia untuk tidak berhenti menghulurkan sumbangan untuk Tabung Misi Kemanusiaan Rescue Syria menerusi www.tabungsyria.com atau Maybank 5628-3463-6987 (Syria Emergency Appeal) bagi membantu pelarian Syria.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian hotline 1300-888-038. -BERNAMA


Pengarang :