NASIONAL

KPDNHEP anjur dialog bersama media

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

PUTRAJAYA, 22 APRIL: Sebagai usaha berinteraksi secara langsung bersama media, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hari ini menganjurkan Program Dialog Menteri Bersama Media, di sini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, program itu dilaksanakan supaya pihaknya dapat mendengar pandangan dan syor daripada media.

“Dalam suasana lambakan maklumat ini, kita mahu pihak media mendengar secara terus daripada menteri sendiri berkaitan KPDNHEP di samping dapat beramah mesra bersama media.

“Selain itu, kami juga ingin mendengar pandangan atau syor daripada media, sekali gus bertukar pendapat supaya kami boleh membaiki perkara yang perlu,” katanya ketika berucap pada program terbabit di Rumah Kelab KPDNHEP.

Program itu dihadiri kira-kira 50 pengamal media daripada 13 agensi media tempatan.

Sesi dialog yang berlangsung selama dua jam itu membincangkan pelbagai isu seperti kos sara hidup, politik dan hal pentadbiran.

Difahamkan, KPDNHEP adalah kementerian pertama yang mengadakan dialog khas bersama media.


Pengarang :