NASIONAL

KPDNHEP periksa 651,075 premis pada 2018

NILAI, 18 APRIL: Sebanyak 651,075 premis diperiksa di seluruh negara pada tahun lalu, kata Pengarah Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Iskandar Halim Sulaiman.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 10,265 kertas siasatan dibuka membabitkan pelbagai kesalahan dengan nilai rampasan berjumlah RM27.36 juta.

Katanya, bagi tempoh sama, sebanyak 25,439 aduan diterima dan kesemuanya disiasat serta diselesaikan.

“Bagi tahun ini, sebanyak 183,043 premis diperiksa di seluruh negara dengan 4,084 kertas siasatan dibuka atas pelbagai kesalahan membabitkan nilai rampasan sebanyak RM28.86 juta.

“Sementara itu, sebanyak 5,330 aduan diterima dan semuanya sudah disiasat,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Penguatkuasaan KPDNHEP ke-47 di Mantin, dekat sini.

Majlis sambutan bertemakan ‘Pantas dan Cekap’ dirasmikan Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan turut dihadiri Timbalan Menteri, Chong Chieng Jen dan Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Muez Abd Aziz.

Iskandar Halim berkata, antara kejayaan terbesar bahagian penguat kuasa KPDNHEP pada tahun lalu dalam melindungi pengguna adalah menumpaskan skim penipuan pelaburan bersama pasukan Penguatkuasaan Pemulihan Hasil Negara (NRRET) dan polis membabitkan jumlah rampasan barang sebanyak RM980,000.

“Selain itu, kita juga berjaya menyita pelbagai wang asing sebanyak RM93,000, aset alih berjumlah RM5.3 juta daripada 72 akaun serta sitaan 26 kenderaan dengan nilai RM6.2 juta yang disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, bahagian Penguat kuasa KPDNHEP menerusi Pelan Transformasi menggariskan lima perkara utama yang akan dilaksanakan bagi memastikan bahagian itu terus relevan dan berdaya saing.

Lima perkara itu ialah memodenkan cara kerja secara elektronik dengan memperkenalkan E-Enforcement; menambah baik dan menggunakan Enforcement Command Centre (ECC) secara optimum; memantapkan disiplin pegawai penguat kuasa; pemantapan penyiasatan dan pengendalian kertas siasatan kes serta perubahan minda ke arah kecemerlangan dan produktiviti. -BERNAMA


Pengarang :