KOTA BHARU, 20 April — Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin (duduk, tengah) bersama penerima surat tawaran kediaman pada majlis penyerahan surat tawaran dan perasmian Pejabat Sekretariat Muafakat Komuniti Program Perumahan Rakyat (PPR) Kota Bharu di Wakaf Mek Zainab hari ini. Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Dr Mary Wong Lai Lin (duduk dua, kanan) dan Exco Kerajaan Tempatan Perumahan dan Kesihatan Izani Husin (duduk dua, kiri) –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

KPKT lancar Sekretariat Muafakat Komuniti PPR

KOTA BHARU, 20 APRIL: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) hari ini melancarkan Sekretariat Muafakat Komuniti Program Perumahan Rakyat (PPR) bagi membantu peserta di projek perumahan untuk menjaga kebersihan, mengurus tempat dan menjana pendapatan.

Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata projek perintis bagi program berkenaan telah dimulakan di PPR Lembah Semanggol, Selangor sebelum ini dan mendapat sambutan yang baik daripada peserta di projek perumahan tersebut.

“Kita faham PPR sebelum ini tak mampu dikendalikan dan diselenggara oleh penduduk kerana mereka tak ada kapasiti untuk menguruskan 1,000 unit rumah dengan 6,000 penduduk.

“Bagaimanapun, sekretariat ini yang diuruskan sendiri oleh pegawai KPKT akan melatih bagaimana penduduk di setiap PPR untuk menjadi masyarakat yang berdaya dalam pelbagai aspek termasuklah kebersihan, keselamatan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Surat Tawaran dan Perasmian Pejabat Sekretariat PPR Kota Bharu yang turut dihadiri Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Dr Izani Husin dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPKT Dr Mary Wong Lai Lin di sini, hari ini.

Pada majlis berkenaan, Zuraida turut menyerahkan surat tawaran sijil induksi dan kit pengurusan dan keselamatan PPR Kota Bharu kepada 480 peserta projek perumahan tersebut.

Beliau berkata PPR Kota Bharu merupakan tempat pertama sekretariat tersebut dilancarkan dan ia akan diperluaskan ke projek-projek perumahan kos rendah yang lain di bawah seliaan KPKT dari semasa ke semasa.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata KPKT akan menawarkan untuk menjual rumah PPR tersebut kepada peserta jika mereka mempunyai rekod yang baik dalam pembayaran sewa di projek perumahan berkenaan dalam tempoh lima tahun.

Katanya harga tawaran bergantung kepada ‘median income’ di sesebuah kawasan manakala kutipan sewa dan penyelenggaraan yang ditetapkan tidak melebihi RM350 sebulan akan diserahkan kepada kerajaan negeri.

Mengulas mengenai 97 jentera Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang dikatakan tersadai akibat kerosakan, Zuraida berkata pihaknya masih menyiasat kes berkenaan dan tidak teragak-agak untuk mendapatkan khidmat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika berlaku sebarang penyelewengan.

“Kita tidak akan melindungi mana-mana pihak dalam perkara ini,” katanya. -BERNAMA


Pengarang :