SELANGOR

Kuala Selangor kutip RM68.89 juta premium tanah pada 2018

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA SELANGOR, 26 APRIL: Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor berjaya mengutip premium tanah berjumlah RM68.89 juta, pada 2018.

Pegawai Daerah Kuala Selangor, Mohd Faizal Abdul Raji berkata, jumlah itu adalah 98.4 peratus daripada sasaran RM70 juta yang diamanahkan Kerajaan Negeri.

“Banyak pertumbuhan berlaku daripada segi ekonomi dan sosial. Daripada segi guna tanah, semakin banyak pembinaan perumahan, perniagaan dan perindustrian.

“Di samping mengutip hasil daripada pelupusan dan pembangunan tanah, Kerajaan Negeri memulangkan semula kepada rakyat melalui projek pembangunan seperti baik pulih jalan, infrastruktur sukan dan menganjurkan pelbagai program kemasyarakatan dengan peruntukan RM9.04 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan pada Perhimpunan Pagi Bersama Penjawat Awam Daerah Kuala Selangor, bersempena Program Jelajah Maju Bersama 2019, di sini.

Selain itu, kutipan permit bahan batuan juga amat membanggakan apabila melepasi sasaran sebanyak 257.4 peratus dengan jumlah RM37.61 juta.

 


Pengarang :