NASIONAL

Lambatkan PRK: SPR nafi dakwaan calon BN

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

PUTRAJAYA, 1 APR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menafikan dakwaan Calon Barisan Nasional (BN) di PRK N27 Rantau bahawa pihaknya melewatkan hari penamaan calon bagi mengurangkan momentum kemenangan BN.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, SPR memandang serius terhadap dakwaan Dato’ Seri Utama Hj Mohamed Hassan (Tok Mat) dan tegas menafikan tuduhannya itu.

Katanya, SPR sebagai sebuah Institusi Perlembagaan yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong sentiasa menunaikan tanggungjawab dan amanah dengan profesional serta tidak menyebelahi mana-mana pihak dalam pilihan raya.

Katanya, SPR menerima perakuan dari Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutaun mengenai pembatalan keputusan DUN Rantau pada 26 Februari lalu.

“Selaras Perkara LVI(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, SPR dikehendaki mengisi kekosongan kerusi terbabit dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan. Jadi ia berakhir 26 April.

“Malah, SPR dikehendaki mengeluarkan writ Pilihan Raya tidak kurang empat hari dan tidak lebih 10 hari dari tarikh kekosongan, selaras dengan Seksyen 12 Akta Pilihan Raya 1958.

“Jadi setelah mengambil kira semua jangkamasa yang ditetapkan perundangan, SPR membuat Mesyuarat Khas pada 6 Mac lalu bagi menetapkan tarikh-tarikh penting PRK ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Azhar berkata, pihaknya mematuhi semua peruntukan undang-undang dan kesemua tarikh yang ditetapkan mengikut kesesuaian setelah mengambil kira semua faktor.

“Kita beri jaminan bahawa semua tindakan SPR tidak dipengaruhi oleh mana-mana parti politik mahupun kecenderungan fahaman politik,” katanya.

Terdahulu, Mohamad Hassan mendakwa SPR  dipengaruhi Pakatan Harapan (PH) dalam membuat keputusan berkaitan tarikh PRK Rantau bagi menghentikan momentum kebangkitan BN.

 

 


Pengarang :