NASIONAL

Lantik Pesuruhjaya Kanak-Kanak selesai isu kebajikan

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 11 APRIL: Kerajaan memutuskan untuk melantik seorang Pesuruhjaya Kanak-Kanak di bawah struktur sedia ada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), bagi menyelesaikan isu berkaitan perlindungan golongan itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, suruhanjaya itu sudah mengemukakan kertas cadangan pelantikan itu kepada pihaknya, pada November lalu.

“Pesuruhjaya yang akan dilantik ini sekurang-kurangnya boleh meneliti terlebih dahulu gambaran menyeluruh pelaksanaan hak kanak-kanak di Malaysia.

“Pemerhatian lanjut seterusnya boleh dipertimbangkan untuk penubuhan sebuah suruhanjaya yang ideal untuk kanak-kanak pada masa hadapan,” katanya ketika menjawab pertanyaan Dato’ Seri Azalina Othman (BN-Pengerang), di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, pesuruhjaya itu akan bertindak sebagai semak dan imbang berhubung pengendalian isu kanak-kanak oleh kerajaan, badan bukan kerajaan dan organisasi tempatan atau antarabangsa.

Pada masa sama, Dr Wan Azizah berkata, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri sudah memulakan proses pengiklanan kepada umum berkenaan pengambilan Pesuruhjaya SUHAKAM, akhir tahun lalu.

“Individu yang mengemukakan pencalonan disaring dan kini sedang dimuktamadkan untuk kelulusan perdana menteri.

“Ia juga dijangka akan membuat pengumuman pelantikan pada bila-bila masa pada bulan ini,” katanya.

Pada 5 Julai lalu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh, menyatakan kesediaan kementerian itu untuk meneliti keperluan mewujudkan Suruhanjaya Kanak-Kanak.

“Bagi tujuan mendapatkan pandangan pemegang taruh terhadap kertas cadangan itu, satu sesi libat urus Pelantikan Pesuruhjaya SUHAKAM bagi portfolio kanak-kanak diadakan,” katanya

 


Pengarang :