BERITA UTAMANASIONAL

Laporan: Najib dituntut bayar cukai tambahan RM1.5 bilion

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 1 APR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengenakan cukai tambahan RM1.5 bilion kepada Datuk Seri Najib Razak untuk tempoh tujuh tahun sehingga 2017.

Jumlah itu tidak termasuk cukai yang sudah dibayar oleh mantan Perdana Menteri itu berdasarkan pendapatannya sejak 2011, lapor The Edge Financial Daily.

LHDN dilaporkan sudah menghantar surat untuk mengutip cukai tambahan itu kira-kira seminggu lalu.

Najib didakwa tidak mengisytiharkan cukai pendapatan hampir RM4 bilion termasuk RM2.6 bilion yang dikaitkan dengan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sebelum ini, Najib menegaskan wang itu sumbangan daripada seorang putera Arab Saudi namun ada laporan menyebut wang ini berasal daripada tiga syarikat lain hasil penyelewengan 1MDB.

Pakar cukai berpandangan dana itu tetap dianggap pendapatan yang boleh dikenakan cukai walau ada dakwaan ia diseleweng daripada syarikat pelaburan, lapor akhbar niaga itu lagi.

“Semua pendapatan dikenakan cukai sama ada ia peroleh secara sah atau tidak,” kata pakar terbabit, yang tidak dinamakan.

“Jika ia adalah hasil haram, terpulang kepada agensi lain seperti polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat jika berlakunya jenayah.

“Mengikut kefahaman LHDN, ia (RM2.6 bilion) dianggap cukai,” katanya.


Pengarang :