NASIONAL

Larang jual ‘Sapuman’, Zunar terima ganti rugi

KUALA LUMPUR, 4 APR: Kartunis Zunar memperoleh ganti rugi am sebanyak RM1,000 selepas bukunya ‘Sapuman: Man of Steal’ dilarang diedar dan dijual selama 10 bulan oleh Menteri Dalam Negeri, dua tahun lalu.

Peguam Zaid Malek, yang mewakili Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee SM Anwarul Haque berkata, Penolong Kanan Pendaftar Firdaus Sidqi Sharil Azli memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi itu selepas perintah larangan untuk mengedar dan menjual buku itu bertarikh 3 Oktober 2017 dibatalkan pada 2 Ogos tahun lalu.

“Ganti rugi am dibenarkan untuk jumlah nominal iaitu RM1,000 manakala ganti rugi khas tidak dibenarkan oleh mahkamah,” katanya kepada pemberita selepas keputusan taksiran ganti rugi itu, hari ini.

Prosiding di dalam kamar itu turut dihadiri Peguam Kanan Persekutuan Jamilah Jamil bertindak bagi pihak Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia selaku responden. Zunar tidak hadir pada prosiding hari ini.

Pada 12 Februari 2018, Zunar memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Tinggi di sini untuk memulakan prosiding semakan kehakiman berkenaan.

Bagaimanapun, ketika pendengaran permohonan semakan kehakiman pada 9 Ogos 2018, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu Jabatan Peguam Negara telah menerima surat daripada Kementerian Dalam Negeri yang mengesahkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah membatalkan perintah larangan terhadap buku berkenaan pada 2 Ogos tahun sama.

Surat itu menyatakan bahawa Dr Mahathir yang ketika itu merangkap Menteri Dalam Negeri telah memutuskan membatalkan perintah larangan bagi buku bertajuk ‘Sapuman: Man of Steal’, yang diwartakan perintah larangan itu pada 3 Oktober 2017.

Mahkamah juga memutuskan supaya ganti rugi diberikan kepada kartunis berkenaan bermula dari tempoh larangan tersebut berkuat kuasa.

Zunar selaku pemohon memfailkan permohonan itu pada 2 Januari 2018, antara lain untuk membatalkan perintah Menteri Dalam Negeri bertarikh 3 Oktober 2017 berhubung larangan terhadap buku tersebut dan memohon pengisytiharan bahawa perintah itu tidak sah kerana melanggar Perlembagaan Persekutuan serta bersifat ultra vires mengikut Seksyen 7 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Berdasarkan afidavit sokongan yang difailkan bersama permohonan itu, Zunar berkata beliau telah melancarkan buku baharunya yang bertemakan isu-isu politik semasa di Malaysia di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur & Selangor pada 13 September 2015.

Kartunis itu mendakwa Menteri Dalam Negeri melalui Warta Kerajaan Persekutuan telah mewartakan satu perintah di bawah Subseksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 bahawa percetakan, pengimportan, penghasilan, penerbitan, penjualan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan buku itu adalah dilarang secara mutlak di seluruh Malaysia.

Zunar turut mendakwa warta berkenaan menyatakan alasan bahawa buku karyanya itu mungkin memudaratkan ketenteraman awam dan menjejaskan fikiran orang ramai.

– BERNAMA


Pengarang :