LCS Maharaja Lela dijangka ditauliah pada 2021 | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Afeeqa Afeera

LCS Maharaja Lela dijangka ditauliah pada 2021

KUALA LUMPUR, 18 APRIL: Kapal tempur pesisir pantai (LCS) pertama milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), LCS Maharaja Lela dijangka ditauliahkan pada 2021, kata Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany.

“Lagi dua tahun, yang lain akan diterima dan ditauliahkan secara berperingkat selepas itu,“ katanya ketika ditanya berkenaan perkembangan LCS selepas menghadiri program Derma Darah sempena sambutan Hari TLDM Ke-85 di Kem Kementah di sini, hari ini.

Pada 31 Oktober lalu, media melaporkan penyerahan LCS pertama milik TLDM yang dijadualkan tahun ini ditangguhkan susulan pembinanya, Boustead Naval Shipyard (BNS) masih menunggu komponen penting daripada sebuah syarikat di Amerika Syarikat dan ia dijangka tiba pada penghujung tahun ini.


Ini sekali gus mengakibatkan kapal berkenaan tidak dapat terlibat dalam Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2019 baru-baru ini.

TLDM sebelum ini dilaporkan akan menerima enam LCS secara berperingkat mulai pertengahan tahun ini.

LCS dibina dengan keupayaan peperangan empat dimensi bagi mengatasi ancaman elektronik, udara, darat dan air serta dilengkapi sistem pengurusan peperangan terkini dan mampu menampung sehingga 118 anak kapal selain sebuah helikopter dan pasukan khas.

Mengulas mengenai program derma darah yang dilakukan setiap tahun itu, beliau berkata ia merupakan tanggungjawab sosial TLDM kepada masyarakat.

“Pada tahun lalu, di sini sahaja (Kuala Lumpur) 350 orang penderma dan tahun ini kita jangka cuba mengatasi bilangan tersebut, harap melebihi daripada 400 penderma,” kata Mohd Reza.

Beliau berkata program berkenaan turut berlangsung di pangkalan TLDM yang lain antaranya di Lumut, Kuantan dan Kota Kinabalu. -BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next