SELANGOR

Lebih 1,000 hadir pelancaran Idaman

OLEH SHEEDA FATHIL

KAJANG, 6 APRIL: Sambutan terhadap projek perumahan Idaman Abadi menggalakan apabila lebih 1,000 orang hadir bagi memohon mendapatkan kediaman bernilai RM250,000 itu, yang dilancarkan di Bandar Teknologi Kajang, di sini hari ini.

Wan Hizam Wan Hassan, 37, berkata beliau mendapat maklumat berkenaan projek itu menlalui media sosial dan tanpa berfikir panjang terus merancang untuk memiliki kediaman terbabit.

“Ini satu peluang yang tidak sepatutnya dilepaskan begitu sahaja memandangkan zaman sekarang agak sukar mendapatkan rumah dengan harga begitu, ditambah pula ia mempunyai semi-perabot.

“Bagi saya, ini satu peluang yang patut kita rebut kerana harga rumah akan naik dari semasa ke semasa,” katanya yang bekerja sebagai pensyarah.

N Mageswaran, 38, berkata cabaran untuk memiliki kediaman sendiri pada masa kini agak sukar, justeru inisiatif Kerajaan Negeri yang sentiasa mendahulukan rakyat seharusnya dipuji,

“Bagi saya, harga rumah ditawarkan ini amat berbaloi memandangkan ia turut dilengkapi beberapa perkakasan dan memenuhi kriteria pembeli mahukan.

“Saya menggalakan seluruh rakyat terutama di Selangor yang belum mempunyai kediaman untuk merebut peluang ini dengan segera,” katanya yang juga penjawat awam di Selangor.

Pengusaha salah sebuah taska di Kajang, Rosnah Sharif, 56, berkata beliau sudah melihat rumah contoh Idaman Abadi tahun lalu dan terus memberi galakan kepada anaknya untuk memiliki kediaman terbabit.

“Seperti kita tahu, anak muda kini sukar memiliki kediaman sendiri, sekali gus terpaksa menyewa disebabkan harga rumah yang agak tinggi.

“Namun, apabila Kerajaan Negeri mewujudkan rumah Idaman, saya rasa anak muda patut rebut peluang ini dari sekarang,” katanya.

Terdahulu, Majlis Pelancaran dan Pecah Tanah projek Idaman Abadi disempurnkana Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Rumah Idaman Abadi itu menawarkan unit kediaman berkeluasan lebih 1,000 kaki persegi, tiga bilik tidur, dua bilik air dan dua parkir kereta dengan harga bersih hanya RM250,000.

Projek yang dijangka siap sepenuhnya pada 2022 itu turut dibekalkan set televisyen, peti sejuk, kabinet TV, kabinet dapur, penyaman udara di setiap bilik dan pemanas air di bilik air.


Pengarang :