NASIONAL

Lebih 2,000 kanak-kanak tanpa dokumen daftar sekolah

PUTRAJAYA, 30 APR: Seramai 2,635 kanak-kanak tanpa dokumen telah dibantu untuk mendaftarkan diri bagi mengikuti sesi persekolahan sejak awal tahun ini.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, langkah ‘corrective’ yang diambil oleh kerajaan itu mampu menyelamatkan kanak-kanak berkenaan daripada terjebak dengan gejala sosial dan seterusnya memberi mereka harapan masa depan yang lebih cerah.

“Selama ini mereka ini terbiar dan apabila terbiar mereka menjadi masalah kepada masyarakat apabila terlibat dengan gejala sosial.

“Kita (di kementerian) cuba mengambil langkah ‘corrective’ atau pembetulan iaitu dengan membawa mereka mendaftar ke sekolah di mana pihak sekolah akan bantu mereka untuk mendapatkan dokumen,” katanya pada sidang media mengenai inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan dalam tempoh setahun kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) memerintah.

Menurut Maszlee, usaha mendekatkan anak-anak tersebut dengan persekolahan dan pendidikan diharap dapat menjadi pemangkin untuk membantu mereka membina masa depan dan seterusnya mengubah nasib diri dan keluarga.

“Ini adalah antara langkah ‘groundbreaking’ dalam bidang pendidikan yang diambil kerajaan, yang mempunyai impak holistik pada masyarakat dan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Maszlee turut menarik perhatian bahawa laporan penilaian awal mengenai pemansuhan peperiksaan pertengahan tahun dan akhir tahun bagi murid Tahap 1 akan dikeluarkan pada Jun ini.

Format baharu berteraskan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) itu melibatkan 1.3 juta murid di seluruh negara dan merupakan antara inisiatif yang dilaksanakan kerajaan dalam usaha memperkasa sistem pendidikan negara ke aras reformasi pendidikan yang inklusif dan berkualiti.

Mazlee berkata, laporan awal itu dijangka menunjukkan beberapa kekurangan yang perlu ditambah baik kerana ia akan mengambil sedikit masa untuk menampakkan keberkesanan format berkenaan dalam sistem pendidikan negara.

“Malah di Finland pada awal pelaksanaan sistem ini mereka menghadapi beberapa masalah untuk menyesuaikan diri tetapi selepas beberapa tahun baru nampak keberkesanannya pada pelajar,” katanya.

Kerajaan pada awal tahun ini telah memansuhkan peperiksaan bagi murid Tahap 1 iaitu bagi murid darjah 1, 2 dan 3, sebagai usaha menghapuskan pembelajaran yang terlalu berasaskan peperiksaan.

Menurut Maszlee, pembelajaran tidak berasaskan peperiksaan akan menggalakkan lagi interaksi dan kerjasama antara ibu bapa dan guru dalam usaha kedua-dua pihak itu untuk membangunkan potensi pelajar ke tahap optimum.

“Bukanlah bermaksud kita mansuhkan terus peperiksaan, tetapi kita tukarkan kepada penilaian yang lebih holistik, iaitu dikira daripada keterlibatan mereka, daripada kerja rumah, daripada ujian-ujian, dan peperiksaan adalah salah satu daripada elemen-elemen tersebut,” katanya.

Beliau berkata menerusi sistem itu guru-guru juga mempunyai ruang untuk lebih kreatif dalam pembelajaran selain berpeluang melihat aspek diri mereka yang perlu penambahbaikan.

“Kalau sebelum ini apabila dia (guru) buat ujian, dia menilai murid, tapi apabila dia buat pentaksiran menyeluruh dia juga akan kenal diri dia sendiri, apa benda yang dia kurang beri pada murid, jadi dia akan cuba perbaiki.

“Jadi it works both ways (beri kesan timbal balik), kita bukan sahaja jadikan sekolah untuk pembangunan murid semata-mata, tetapi pembangunan untuk cikgu juga,” kata Maszlee.

Selain itu, dalam usaha melaksanakan polisi pendidikan yang inklusif, Kementerian Pendidikan juga telah memperkenalkan “Zero Reject Policy” atau Dasar Penolakan Sifar kepada murid-murid berkeperluan khas (MBK).

Menurut Maszlee, sejurus dasar itu diumumkan, 1,486 MBK yang tidak membuat pendaftaran awal secara dalam talian telah hadir ke sekolah pada 2 Januari dan mencecah 5,486 pada 15 Januari iaitu pertambahan hampir lima kali ganda.

“Ini menunjukkan selama ini (ramai) murid-murid berkeperluan khas ini agak tersisih daripada pendidikan,” kata Maszlee.

Selain itu, kementerian di bawah kerajaan PAKATAN juga telah memperkenalkan beberapa lagi inisiatif bagi meningkatkan sektor pendidikan negara termasuk membantu meringankan kos sara hidup antaranya melalui Bantuan Awal Persekolahan dan Bantuan Pelajar Pendidikan Tinggi yang memanfaat warga B40, mengurangkan beban tugas guru dan membaiki lebih 300 sekolah daif di seluruh negara.

Pencapaian lain termasuk meningkatkan kewibawaan institusi pendidikan tinggi dengan mengambil langkah-langkah seperti meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan memberi mandat kepada pelajar di semua universiti awam (IPTA) untuk mengendalikan pilihan raya kampus sendiri.

Turut dijalankan ialah peningkatan kerjasama dalam pendidikan tinggi iaitu kerjasama IPTA dengan pihak institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) serta universiti antarabangsa, selain pelaksanaan Sistem Jaminan Kualiti Tunggal pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) .

— BERNAMA


Pengarang :